Warga Emas Berbasikal Di Lokasi Terkenal Jalan ‘New Zealand Malaysia’ Maut Dilanggar Kereta

Seorang warga emas yang sedang menunggang basikal maut dirempuh sebuah kereta Perodua Axia dalam kemalangan di Jalan Temiang-Pantai (Temiang Bypass) atau dikenali ‘New Zealand Malaysia’ pagi semalam.

Maut di jalan ‘New Zealand Malaysia’

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, kemalangan tersebut melibatkan seorang wanita berusia 26 tahun yang memandu seorang diri dari Jalan Pantai menghala ke Kajang, Selangor. Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas melanggar sebuah basikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 72 tahun di bahu kiri jalan.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Difahamkan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan.

Justeru, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut dimohon supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Nilai, Inspektor Nor Fadzilah Mohd. Zainuddin di talian 016-2895801 bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/warga-emas-berbasikal-di-lokasi-terkenal-jalan-new-zealand-malaysia-maut-dilanggar-kereta