Wanita Dibunuh, Mayat Dibakar Di Tepi Sungai Kuala Kangsar

Foto: Harian Metro

Mayat seorang wanita tanpa identiti dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibakar di tepi Sungai Kuala Kangsar dekat Kampung Talang, Kuala Kangsar semalam (31 Mei).

Jumpa mayat terbakar tepi sungai

Foto: Astro Awani

Memetik laporan Sinar Harian, pihak polis bersama Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 3.05 petang.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, wanita terbabit dipercayai mati dibunuh dan dibakar di lokasi yang sama mangsa ditemukan. Tambahnya lagi, dari penelitian berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai merupakan seorang wanita berbangsa India bagaimanapun, identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian mahupun kehilangan ahli keluarga supaya tampil berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat. Maklumat juga boleh disampaikan dengan terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436.

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/wanita-dibunuh-mayat-dibakar-di-tepi-sungai-kuala-kangsar