Tiket Konsert ‘Licin’ Dalam Masa Sejam, Profesor Pelik Kenapa Ada Yang Merungut Tentang Kos Hidup

Susulan tiket konsert 30 Years of Dewa 19 yang habis terjual dalam tempoh sejam, semalam, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menyuarakan pendapatnya terhadap rakyat Malaysia yang sanggup berhabis duit untuk membeli sekeping tiket berhibur di dalam keadaan kegawatan ekonomi.

Tak tahu apa itu keutamaan hidup

Memetik laporan MalaysiaGazette, Prof Teo mempersoalkan segelintir orang yang sanggup berhabis untuk membeli sekeping tiket semata-mata untuk hiburan.

Menurut laporan itu, situasi tersebut tidak selari dengan keluhan rakyat terhadap kos hidup yang tinggi akibat inflasi, namun berhabis ratusan ringgit untuk membeli sekeping tiket konsert.

Prof Teo berkata, meskipun hiburan itu adalah hak masing-masing tetapi sambutan terhadap jualan tiket konsert itu menunjukkan masyarakat negara ini tidak tahu apa itu keutamaan hidup.

Dalam keadaan gawat ini, sewajarnya kita sebagai rakyat perlu berhemah dalam perbelanjaan, mengatur keutamaan untuk keperluan asas diri, sekali gus kita dapat mendidik diri sentiasa bersederhana ketika keadaan memerlukan.

Apabila kita bersederhana, kita bersyukur dengan keadaan yang berlaku. Kita tidak menjadi generasi melenting, protes tetapi tenang ketika berdepan dengan apapun situasi.

Kalau tidak ada keutamaan dalam hidup, maka inilah yang berlaku. Tidak salah kalau masih mahu hiburan jika anda ada limpahan wang, hidup senang.

Tambahnya lagi, sekiranya seseorang itu sanggup berhabis wang untuk sekeping tiket konsert walaupun bukan berasal daripada golongan yang berkemampuan, maka dia tidak patut merungut tentang kenaikan harga barang.

Tetapi jika kita bukan dari kelompok ini (senang) tetapi sanggup mengeluarkan wang untuk berkonsert, jangan lagi merungut tentang kenaikan harga barang; usah bising kerana tidak ada duit dan jangan tunding jari ke mana-mana pihak.

Sumber: MalaysiaGazette


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/tiket-konsert-licin-dalam-masa-sejam-profesor-pelik-kenapa-ada-yang-merungut-tentang-kos-hidup