Terkenal Dengan Hidangan Kroket Daging Kobe, Pelanggan Terpaksa Tunggu Giliran Sehingga 30 Tahun

Sebuah restoran di Takasago, Tokyo, Jepun menghasilkan sebuah menu yang dikatakan amat lazat sehingga membuatkan ramai pelanggan sanggup menunggu giliran untuk menikmati makanan tersebut walaupun terpaksa menunggu selama berpuluh-puluh tahun.

Terkenal dengan hidangan kroket daging kobe

Menerusi laporan Oddity Central, restoran Meat & Delicatessen Asahiya telah menghasilkan kroket daging lembu yang rangup sejak sejak tahun 1918 lagi.

Pelanggan boleh pergi ke restoran berkenaan dan memesan pelbagai hidangan bergoreng yang lazat, namun jika ingin memesan kroket daging kobe yang enak itu mereka perlu menunggu giliran sehingga 30 tahun.

Dalam pada itu, pada 28 April lalu seorang pengguna di Twitter mendedahkan bahawa dia akhirnya dapat menikmati makanan berkenaan setelah sembilan tahun memesan menu terbabit. Malah ada juga pengguna yang lain mengatakan bahawa dia dijangka bakal menikmati makanan tersebut pada tahun 2052.

Tunggu giliran sehingga 30 tahun

Meskipun kedengaran seperti tidak masuk akal kerana terpaksa menunggu giliran yang lama semata-mata ingin menikmati kroket daging kobe istimewa itu, namun laman web rasmi restoran terbabit telah mengesahkan perkara berkenaan. Menurut pihaknya, tempoh masa untuk menunggu hidangan istimewa itu adalah sehingga 30 tahun.

Dalam pada itu, proses untuk membuat kroket adalah sukar kerana ia hanya menggunakan daging lembu kobe yang terbaik serta jarang ditemui. Difahamkan, hanya 200 keping kroket sahaja dihasilkan setiap hari.

Walau bagaimanapun, ia tidak dapat menampung permintaan luar biasa daripada orang ramai yang memesan hidangan berkenaan dalam masa sehari. Kroket daging kobe itu dijual pada harga 2,700 yen (RM90.00) sebungkus yang mengandungi lima keping kroket sahaja.

Sumber : Oddity Central


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/terkenal-dengan-hidangan-kroket-daging-kobe-pelanggan-terpaksa-tunggu-giliran-sehingga-30-tahun