Terima Undangan Tunai Umrah Pada Bulan Ramadan, Zulin Aziz & Suami Anggap Rezeki Hadiah Perkahwinan Paling Bermakna

![|650x335](upload://Ad979GV1AJWXzXKEgNYkKQSTDbU.png)

Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz tidak menyangka doanya untuk kembali ke Mekah segera dimakbulkan. Menurut Zulin, dia menangis di depan Kaabah ketika menerima undangan menunaikan umrah buat kali ketiga.

Terima undangan daripada Faizal Ismail

![|650x855](upload://oll4eR904YjepKe6HqAhxMYr6Ti.png)

Ujar Zulin, dia menerima undangan tersebut ketika menunaikan umrah pada Disember tahun lalu. Undangan tersebut dihantar oleh pengacara, Faizal Ismail yang merupakan pengurus sebuah syarikat pelancongan.

Waktu itu saya baru sahaja selesai solat Subuh dan tengah berdoa di depan Kaabah supaya dijemput kembali ke Mekah. Pada waktu sama, tiba-tiba saya menerima mesej undangan untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan daripada abang Faizal Ismail. Memang susah untuk percaya dan saya sangat terkejut sampai menangis di situ juga. Sebab saya baru sahaja sebut untuk datang lagi dan terus dapat jemputan. Kira rezeki dan doa dimakbulkan Allah.

Jelas Zulin lagi, undangan tersebut dianggap sebagai hadiah perkahwinan paling bermakna buat dirinya dan suami yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan baru-baru ini.

Tawaran tunaikan umrah ini hadiah perkahwinan paling bermakna buat saya. Boleh dikira bulan madu dan hadiah daripada Allah.Sebelum ini kami menunaikan umrah bersama tetapi masih belum halal. Tetapi umrah pada bulan Ramadan nanti kami pergi sebagai pasangan suami isteri, pengalamannya pasti berbeza.

Covid-19 bukan penghalang untuk tunai umrah

![|650x389](upload://xjpGOUtkUuHYzyuchzEoeZYoMd1.jpeg)

Terdahulu, Zulin pernah dijangkiti virus Covid-19 selepas pulang dari menunaikan umrah. Berikutan daripada itu, Zulin menyatakan bahawa dia tidak gusar untuk kembali ke Mekah biarpun penularan jangkitan virus berkenaan meningkat begitu mendadak.

Kali pertama pergi memang belum ada kes Covid-19 langsung, kali kedua pergi sampai terkandas di Madinah. Pengalaman tidak berapa seronok semasa hendak pulang ke Malaysia kerana terdapat jemaah yang ditahan, tetapi saya dihantar pulang. Tiba saja di Malaysia terus positif Covid-19, namun perkara tersebut langsung tidak menghalang atau menakutkan saya untuk tunaikan umrah lagi. Sebab saya sudah pernah rasa, jadi tahu apa yang perlu dilakukan. Niat kita baik untuk beribadah, pergi sahajalah tidak ada yang hendak ditakutkan.

Selain Zulin, selebriti lain yang turut diundang menunaikan umrah pada April depan adalah Faizal Ismail, Saharul Ridzwan dan Bell Ngasri.

Sumber: Kosmo


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/terima-undangan-tunai-umrah-pada-bulan-ramadan-zulin-aziz-suami-anggap-rezeki-hadiah-perkahwinan-paling-bermakna