Tak Sempat Melangsungkan Perkahwinan, Wanita Sebak Lihat Bakal Suami Mati Ditetak Depan Mata

![|650x410](upload://okpFh6Xwnpr42XxoRM8C60fPBUK.jpeg)

Sekadar gambar hiasan

Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dipercayai akibat ditetak sekumpulan individu di kediamannya yang terletak di Sepang pada 11 September lalu. Lebih meruntun hati apabila mengetahui insiden ngeri itu berlaku di depan mata bakal isterinya.

Ditetak depan bakal isteri

![|650x406](upload://gdXuh2LuhY6D8VsdGMplVDEvlu.jpeg)

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Malaysia Gazette, mangsa yang berusia 45 tahun itu tinggal bersama bakal isterinya sejak dua bulan lalu dan mereka dikatakan akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Namun, wanita terbabit mendakwa mereka sudah berkahwin mengikut adat resam Hindu dan bercadang untuk mendaftarkan perkahwinannya secara sah di sisi undang-undang.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, wanita yang berusia 37 terbabit mendakwa kejadian itu berlaku ketika bakal suaminya pergi ke luar rumah kerana ingin muntah selepas mengambil minuman keras. Namun ketika membuka pintu pagar, mangsa telah diserang oleh sekumpulan lelaki.

Pada masa sama, dua lelaki keluar dari kenderaan dan salah seorang suspek telah menetak mangsa di belakang badan dan kepala menggunakan parang manakala seorang lagi memukul mangsa di bahagian kepala dengan topi keledar sebelum melarikan diri.

Empat suspek ditahan

![|650x370](upload://21pFW1P8HTPAuEJV8zb4VbBonL.jpeg)

Sekadar gambar hiasan

Berikutan daripada insiden itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. Barang bukti seperti sebilah parang dan topi keledar yang dipercayai digunakan oleh kesemua suspek turut ditemui di lokasi kejadian.

Hasil daripada maklumat bakal isteri mangsa, suspek dipercayai menaiki kereta jenis Proton Iswara berwarna merah dan Proton Bezza berwarna putih. Difahamkan, kenderaan yang ditemui di Ladang Sepang itu telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Pihak polis kemudian menjalankan serbuan di ladang tersebut dan berjaya menahan empat lelaki serta merampas dua buah kereta terbabit serta dan empat telefon bimbit suspek.

Tiga daripada suspek yang ditahan berumur antara 25 hingga 32 tahun dan mempunyai rekod lampau jenayah manakala seorang lagi suspek berusia 33 tiada rekod jenayah.

Jelas Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan.

Sumber: Malaysia Gazette


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/tak-sempat-melangsungkan-perkahwinan-wanita-sebak-lihat-bakal-suami-mati-ditetak-depan-mata