Tak Sedar Diri Hamil, Wanita Hampir ‘Flush’ Bayi Dalam Mangkuk Tandas – ‘Nasib Nampak Tangan Baby’

Foto: Mirror UK

Seorang wanita di London berdepan detik cemas apabila dia hampir menjirus atau ‘flush’ bayinya ke dalam mangkuk tandas. Insiden tersebut dipercayai berlaku kerana wanita yang masih bergelar pelajar ini mendakwa tidak menyedari bahawa dirinya sedang berbadan dua.

Ujian kehamilan negatif

Foto: Daily Mail

Memetik laporan Daily Mail, wanita berusia 23 tahun ini yang dikenali dengan nama Lalene Malik mendakwa dia telah mengambil pil perancang kehamilan sejak lima bulan lalu (Oktober-Januari) selepas mendapat nasihat doktor. Menurut Lalene, dia tidak merancang mahu memiliki anak dalam masa terdekat sebelum menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana di Universiti Roehampton.

Difahamkan, Lalene yang baharu menjalani pembedahan telah beberapa kali merujuk kepada doktornya setelah mengalami beberapa simptom termasuk penambahan berat badan yang mendadak selain sering sesak nafas. Pada bulan Februari lalu, Lalene mengakui telah melakukan dua kali ujian kehamilan dan kedua-duanya menunjukkan keputusan negatif. Lalene percaya kemungkinan dirinya hanya mengalami sembelit.

Pada 26 Mac lalu, Lalene dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit perut yang sangat teruk. Selepas membuat ujian darah, pihak hospital memaklumkan bahawa keputusan ujian yang dilakukan Lalene gagal dan tidak tersedia. Oleh hal demikian, mereka meminta Lalene datang kembali ke hospital kira-kira tiga hingga enam bulan kemudian.

Hampir jirus bayi dalam mangkuk tandas

Foto: Daily Mail

Ibu Lalene mendakwa dia mula mengesyaki pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan anak perempuannya pada ketika itu lebih-lebih lagi selepas melihat Lalene menangis kesakitan saat dia masuk ke tandas hospital. Rupa-rupanya Lalene telah melahirkan bayi di dalam tandas hospital tanpa dia menyedarinya.

Lebih mencemaskan apabila Lalene hampir menjirus atau ‘flush’ namun ‘keajaiban’ berlaku apabila Lalene melihat lengan kecil di dalam mangkuk tandas. Difahamkan, bayi lelaki yang diberi nama Muhammad Ibrahim tersepit kira-kira tujuh minit sebelum berjaya diselamatkan oleh doktor. Mangsa dikatakan berada dalam keadaan tidak bermaya dan tidak bernafas ketika diselamatkan.

Jika saya tahu saya mengandung, saya akan menghargai saat-saat itu dengan pergi membeli-belah, menyediakan barang untuk bayi saya. Ia satu rahmat dan saya gembira dengan kelahiran bayi saya.

Menurut sumber, Muhammad Ibrahim yang dilahirkan cukup bulan kini berada dalam keadaan sihat selepas diberikan bantuan oksigen dan dipantau pihak hospital. Lalene mengakui kesal dengan doktor keluarga yang dirujuk sebelum ini atas kelalaian dalam melakukan ujian sehingga dia tidak mengetahui dirinya mengandung.

Suami Lalene yang berada di luar negara mengakui terkejut dengan berita tersebut namun mereka bersyukur dengan kehadiran Muhammad Ibrahim. Tambah Lalene, dia akan menangguhkan pengajiannya sehingga bulan Julai untuk menjaga anak kesayangannya itu.

Sumber: Daily Mail, Mirror UK


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/tak-sedar-diri-hamil-wanita-hampir-flush-bayi-dalam-mangkuk-tandas-nasib-nampak-tangan-baby