Sharifah Amani Pilih Lelaki Bijak & Lucu Jadi Bakal Suami

Pada Jun lalu, pelakon Sharifah Amani mengumumkan dirinya kini sudah bergelar tunangan orang di Instagram (IG) miliknya.

Artikel Berkaitan: Sharifah Amani Minta Berlaku Adil, Bantah Penutupan Operasi Kelab Komedi Crackhouse

Dah ‘fitting’ baju pengantin

Ketika ditemui OhBulan, Amani, 36, enggan berkongsi tarikh perkahwinan namun tidak menafikan akan naik pelamin pada tahun ini.

Pemilik nama Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya berharap agar semua urusan akan berjalan dengan lancar.

Alhamdulillah, saya gembira sekarang ini (bertunang). Rasa gementar itu memang ada apabila memikirkan pelbagai perkara.

Insya-Allah, jika dipermudahkan. Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah menentukan.

Amani berkata demikian ketika majlis tayangan perdana, Murder by Moonlight di GSC Mid Valley Megamall, pada Selasa.

Empat tahun kenal

Ditanya apakah keistimewaan yang membuatkan hatinya terpikat, pelakon Sepet menyatakan lelaki itu bijak malah ada sisi lucu.

Apa yang boleh saya cakap dia warganegara Malaysia dan kami sudah empat tahun berkenalan. Dia juga bukan dalam kalangan industri hiburan.

Dia seorang yang bijak dan lucu. Itu yang membuatkan saya tertarik.

Dalam pada itu, anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar memberitahu dia tidak mahu terlalu terbuka berkongsi tentang jejaka pilihannya selagi belum bernikah.

Kami memang tak mahu uar-uarkan, lebih lagi, dalam media sosial. Ini kerana apapun dilakukan pasti ada yang tidak kena pada mata netizen.

Sekarang, kami tak nak cakap apa-apa. Harap-harap selepas berkahwin bolehlah saya memperkenalkannya.

Sebelum ini, Amani mengejutkan ramai orang apabila memuat naik foto cincin di jari manis dan kelibat seorang lelaki dipercayai tunang di belakang tangannya.

Sumber: Instagram @sharifah_amani


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/sharifah-amani-pilih-lelaki-bijak-lucu-jadi-bakal-suami