Setahun ‘Hilang’ Lepas Beberapa Hari Nikah, Isteri Kedua Mengaku Bunuh Suami & Tanam Bawah Katil

![|650x359](upload://qmJCBgNguvgc2JbI8CEzGY4ibOv.png)

Sekadar gambar hiasan

Misteri kehilangan seorang lelaki dari Iran akhirnya terjawab selepas pihak polis menemui mayat manusia yang ditanam di bawah katil. Lebih mengejutkan apabila mengetahui mangsa yang dilaporkan hilang selama setahun itu sebenarnya telah dibunuh oleh isterinya sendiri.

‘Hilang’ beberapa lepas nikah

![|650x365](upload://yaEe3Mmq5Qm11ekMP7xWOX2yTwu.jpeg)

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Tribunnews, mangsa yang berusia 45 tahun itu telah mendirikan rumah tangga bersama isteri keduanya sekitar bulan Ogos 2020. Namun beberapa hari selepas bernikah, mangsa tidak dapat dihubungi. Berikutan daripada itu, adik mangsa telah pergi ke rumah yang didiami mangsa dan isteri keduanya namun kelibat mangsa langsung tidak kelihatan. Apabila ditanya, wanita itu menjawab suaminya telah meninggalkan rumah tanpa khabar berita.

Pada ketika itu, adik mangsa sudah mengesyaki ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh wanita terbabit. Dia kemudian membuat laporan polis dan pihak polis mula menjalankan siasatan. Anak lelaki mangsa mendakwa bahawa pasangan itu sempat bertengkar sebelum mangsa dilaporkan hilang.

Walaupun pihak polis mencurigai wanita terbabit namun mereka tidak boleh mengambil tindakan kerana tiada sebarang bukti yang menunjukkan wanita itu terlibat dengan kes kehilangan mangsa. Tetapi setiap pergerakan wanita itu diawasi oleh beberapa anggota polis.

Tanam mayat bawah katil

![|650x434](upload://aSQ8MCsykldTWKTynxuuUhxzygs.jpeg)

Sekadar gambar hiasan

Meskipun sudah tahun berlalu, namun tiada sebarang petunjuk mengenai kes kehilangan mangsa sehinggalah pada bulan November 2021, pihak polis menerima maklumat isteri kedua mangsa telah berkahwin lain. Susulan daripada itu, pihak polis mula menyoal siasat wanita itu dan akhirnya dia mengaku telah membunuh dengan memasukkan racun ke dalam minuman mangsa.

Suami saya penagih dadah dan saya selalu ada masalah dengannya. Dia sakit sebab selalu ambil dadah. Sebab saya terlalu marah, saya masukkan pil dan racun ke dalam minumannya. Bila saya bangun pagi tu, tengok dia dah mati.

Panik dengan situasi itu, dia kemudian mengawet mayat mangsa sebelum menggali lantai bilik dan menanamnya di bawah katil.

Waktu itu saya sangat takut, saya tak tahu nak buat apa dengan mayat suami dan memutuskan untuk tanam di situ. Saya bawa garam dan kain untuk mengawet mayat dan mula menggali.  Rumah kami merupakan sebuah vila jadi tiada siapa yang akan nampak. Jadi saya tanam mayat suami saya di bawah tempat tidur.

Dakwa wanita ini lagi, dia menyangka kes kehilangan suaminya itu sudah ditutup tetapi sebenarnya pihak polis telah menjalankan siasatan secara senyap-senyap. Difahamkan, wanita itu membunuh suaminya bukanlah disebabkan isu dadah tetapi kerana masalah kewangan dan perselisihan faham. Suspek kini sudah ditahan dan akan dijatuhi hukuman.

Sumber: Tribunnews


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/setahun-hilang-lepas-beberapa-hari-nikah-isteri-kedua-mengaku-bunuh-suami-tanam-bawah-katil