‘Seluruh Badan Rosak & Tumpah Darah’ – Lebih 10 Tahun Tanggung Sakit, Elyana Mohon Orang Ramai Untuk Memahami Bukan Menghakimi

![|650x400](upload://rEDwojMHfgr9ZSu3QLD7Vz4t1ZP.jpeg)

Menanggung kesakitan selepas disahkan menghidap kanser limfoma bukan satu perkara mudah untuk dilalui oleh penyanyi Elyana.

Artikel Berkaitan: ‘Rasa Seperti Disiat-Siat’- Badan Rasa Lemah, Elyana Tangguh Rawatan Kemoterapi Demi Anak & Ibu

Sakit lebih 10 tahun

![|650x830](upload://tmhMFplqycvhoQNcgbXYP0omnQr.png)

Seperti terguris dengan komen segelintir netizen yang pandang mudah dengan kesengsaraan yang ditanggung, Elyana dilihat meluahkan perasaannya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Menurut Elyana, 33, sepanjang 10 tahun lebih hidup dalam kesakitan, pelbagai usaha telah dilakukannya dan dia telah mencuba sehabis baik untuk kembali sembuh.

Saya dah sakit lebih 10 tahun. Lebih 20 kali lakukan kemoterapi dan lebih 30 kali radioterapi. Apa yang saya tak pernah lakukan? Diet? Pantang? Makan ubat? Rebus daun?

Benda yang anda tak terfikir boleh makan pun, saya makan. Macam-macam rasa saya telan juga untuk sihat. Tak makan selama setahun pun pernah, sebab tak ada selera. Berubat semua ceruk orang beritahu, saya pergi.

Belajar memahami bukan kritik

![|650x803](upload://eytiADZ3nGCBwnrD3ral0UzdNRk.png)

Kata pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal, sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata kerana hanya dia sahaja yang tahu rasa sakit.

Sepanjang menjadi survivor kanser, dia memikul penderitaan apabila seluruh badannya ‘rosak’, sukar untuk bercakap dan tidak boleh minum air. Malah tegasnya, dia juga perlu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak, isteri serta ibu dalam masa sama.

Beza kalau kita pernah jaga atau kenal orang yang sakit dengan diri kita sendiri yang alami dan berperang dengan sakit. Beza.

Jika anda ingin membantu, belajarlah memahami. Bukan menghakimi dalam komen dan merungut. Rosak jiwa saya. Saya dah buat sebaik mungkin yang mampu untuk 10 tahun ini.

Telan air liur pun sakit. Muntah, ketakutan, seluruh badan rosak. Susah bercakap. Tumpah darah bertahun-tahun. Nak duduk, berdiri sakit. Nak jaga keluarga, cari duit.

Berfikir. Tak boleh tidur. Nak selalu tersenyum depan anda. Berat, terlalu berat. Kamu tak akan dapat memahami selagi tak pernah merasainya sendiri.

Terdahulu, pelakon drama Dunia Baru itu memaklumkan kanser yang dihidapinya memasuki tahap lima dan telah menyerang serta merebak ke beberapa organ badannya termasuk rahim, hati dan pangkal paha.

Elyana membuat pendedahan menghidap kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada tahun 2017.

Sumber: Instagram @elyanaofficial1


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/seluruh-badan-rosak-susah-bercakap-tumpah-darah-lebih-10-tahun-tanggung-sakit-elyana-mohon-orang-ramai-untuk-memahami-bukan-menghakimi