Selepas Dua Bulan Serius Bercinta, Zizi Kirana & Yusuf Bahrin Sah Jadi Suami Isteri

![|650x400](upload://RNmBuc6ogRAJVu9dH9UXfMUjpS.jpeg)

Desas desus yang mendakwa penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Yusuf Bahrin dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat akhirnya terjawab apabila pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri, pada pagi Ahad.

Artikel Berkaitan: Tak Sengaja Panggil Zizi Kirana Sayang Di Live IG, Pandai Yusuf Bahrin Cover – ‘Saya Panggil Ibu’

Sah hanya sekali lafaz

![|650x1408](upload://sm6vMuzvEhiv1kHl8zQ9zTpJXHy.jpeg)

Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 36, sah bergelar isteri kepada Yusuf Bahrin, 29, dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil.

Pelantun lagu Eh ini menerima mas kahwin senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, manakala wang hantaran pula tidak didedahkan.

Majlis pernikahan itu diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

Syukur semua berjalan lancar

![|650x551](upload://nRIWMqzMQHW0nyIuFmpE0NKTfgM.png)

Zizi melahirkan rasa syukur apabila majlis akad nikah mereka berjalan dengan lancar walaupun persiapan terpaksa dilakukan di saat akhir.

Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar… kalau nak tahu hari Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah.

Semuanya dilakukan saat-saat akhir! Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan… doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke Jannah.

InsyaAllah kami merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan.

Terdahulu, Zizi mendedahkan mula mengenali Yusuf ketika rakaman program All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini.

Mereka mula serius mengenali hati budi masing-masing kira-kira dua bulan lalu sebelum mengambil keputusan meneruskan fasa hubungan ke alam perkahwinan.

 

Sumber: Instagram @alhaalfacosmetics_hq, @zizi_kirana


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/selepas-dua-bulan-serius-bercinta-zizi-kirana-yusuf-bahrin-sah-jadi-suami-isteri