Selalu Tarbiah Anak-Anak Agar Tampil Berhijab, Iwan Syahman Syukur Lihat Imej Terbaru Aprena & Oktovia Manrose

![|650x331](upload://sYZr6F8rcicWB5L0kbXchCSV3Yj.jpeg)

Bekas penyanyi dangdut, Iwan Syahman meluahkan rasa syukur kerana kedua-dua anaknya iaitu pelakon, Aprena Manrose dan Oktovia Manrose kini sudah tampil berhijab sepenuhnya.

Allah yang gerak hati mereka

![|650x698](upload://b4PekMbKk86CUwWiDkcJQH1p2Cz.png)

Foto: Iwan bersama Aprena dan Ramada

Menurut Iwan, dia sering menasihati kedua anak perempuannya itu namun tidak pernah memaksa dalam soal memakai tudung. Tambah Iwan, dia hanya menasihati Aprena dan Oktovia namun yang mengubah dan menggerakkan hati mereka untuk berhijrah hanyalah Allah S.W.T.

Sebagai bapa, saya selalu jumpa anak-anak saya dan tarbiah mereka. Saya kata ini rezeki mereka, dan mereka kena fikir bahawa rezeki ini berterusan dan mereka juga kena berubah. Bila dua orang anak saya Aprena dan Oktovia beritahu, papa saya dah tutup aurat. Alhamdulillah, bagus.

Disoal mengenai hubungan dengan anak-anak, Iwan berkata dia tidak pernah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak-anaknya meskipun sudah mempunyai keluarga sendiri. Iwan turut mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya dan berharap mereka berdua terus kekal istiqamah dalam penghijrahan mereka.

Masih belajar dan tak mahu gembar-gemburkan

![|650x687](upload://jXDU9Yz9HIvR1EbW3hApWy30Zmq.jpeg)

Foto: Oktovia Manrose

Pada bulan Jun yang lalu, Aprena enggan mengulas lebih lanjut mengenai penampilan terbarunya yang menggayakan hijab dalam kehidupan harian. Ujar Aprena, dia masih dalam proses pembelajaran dan mengharapkan doa daripada orang ramai. Bercerita mengenai Oktovia pula, kakak kepada Aprena Manrose itu dipercayai berhijab sejak Aidilfitri yang lalu. Bagaimanapun, Oktovia memilih tidak berkongsi atau menggembar-gemburkan soal penghijrahannya kepada umum.


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/selalu-tarbiah-anak-anak-agar-tampil-berhijab-iwan-syahman-syukur-lihat-imej-terbaru-aprena-oktovia-manrose