#RoadToAJL36: ‘Tolong Ingatkan Aku’, ‘Gila’ & 3 Lagi Lagu Kurang Popular Pernah Buat Kejutan Juara AJL

![|650x319](upload://jiHOcQsCImhqGTCAOQ6wGOVsVF0.jpeg)

Debaran Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-36 kian terasa. 12 buah lagu bakal berentap dan merebut gelaran Juara Lagu pada 6 Mac 2022 (Ahad). Anugerah berprestij ini akan bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pukul 9.00 malam di TV3.

Sejak penganjuran yang pertama pada 1986, puluhan lagu nyanyian penyanyi tanah air telah dinobat Juara Lagu berdasarkan penilaian juri. Namun, ada juga lagu yang membuat kejutan muncul juara walaupun pada mulanya tidak diletakkan harapan tinggi. Sempena #RoadToAJL36, jom kita imbas kembali lima buah lagu yang penonton tidak sangka boleh menang di pentas Anugerah Juara Lagu sebelum ini.

Itu Kamu / Estranged (2007)

Siapa sangka, lagu ‘Itu Kamu’ berjaya memenangi Anugerah Juara Lagu ke-22 dan menjadi juara bagi kategori Pop-Rock pada tahun 2007. Mampu mengalahkan lagu Samudera, Izinku Pergi, Angan dan Sedar dan Ceritera Cinta, lagu tersebut berjaya menambat hati barisan juri yang terdiri daripada Azhar Borhan, Fauzi Marzuki, Hanizam Adullah, Helen Yap, Syafinaz Selamat, Amran Omar, Arab dan Farihin Abdul Fatah.

Bertemakan ‘Keajaiban Muzik’ rata-rata penonton berharap lagu ‘Samudera’ nyanyian Nora, bakal memenangi Anugerah Juara Lagu pada malam tersebut. Ini kerana, vokal dan persembahannya pada malam tersebut sangat memukau. Pada malam kemuncak AJL22, kumpulan Estranged telah membawa pulang trofi dan wang tunai RM25,000 selaku juara keseluruhan dan RM12,000 lagi selaku juara Pop-Rock, manakala juara setiap kategori lain iaitu ‘Samudera’ (etnik kreatif) dan ‘Izinku Pergi’ (balada) mendapat trofi dan wang tunai RM12,000 sementara persembahan terbaik Mawi ‘Angan dan Sedar’ dan vokal terbaik Jaclyn Victor dan Lah Ahmad ‘Ceritera Cinta’ masing-masing memperoleh trofi dan wang tunai RM10,000.

Tolong Ingatkan Aku/ Ana Raffali (2010)

Penyanyi, Ana Raffali pernah terpalit dengan kontroversi apabila kemenangannya sebagai juara AJL25 dipertikai. Ramai pihak mempersoalkan kemenangan lagu ‘Tolong Ingatkan Aku’ karya dan lirik ciptaan Ana Raffali sendiri setelah rancangan berprestij itu selesai. Kejayaan Ana yang merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 itu mengundang suasana ‘kurang manis’ sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai pemenang, para penonton di stadium mula bangun dan meninggalkan kerusi masing-masing.

Bukan sahaja nama Ana Raffali menjadi sebutan, komposer, penyanyi dan penulis lirik iaitu M Nasir turut menerima kritikan daripada netizen. Rata-rata netizen mempersoalkan keputusan juri dan bagaimana M Nasir selaku ketua juri boleh memilih lagu tersebut sebagai Juara.

Menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran netizen, Ana Raffali memberitahu dia tidak sangka lagunya itu diangkat sebagai pemenang. Ana Raffali meluahkan rasa syukur dan menganggap kemenangan tersebut sebagai rezeki buat dirinya. Kalau korang nak tahu, lagu ‘Tolong Ingatkan Aku’ ini ditulis sebagai tanda ingatan Ana Raffali terhadap arwah kakaknya. Ujar Ana, lagu tersebut sebagai peringatan buat orang tersayang. Benci dan marah merupakan satu lumrah dalam kehidupan manusia.

Terukir Di Bintang / Aizat (2012)

Lagu ciptaan Yunalis Zarai yang berjudul ‘Terukir Di Bintang’ telah berjaya meraih Anugerah Juara Lagu pada tahun 2012. Meskipun Yuna tidak dapat membawakan lagu tersebut semasa pentas kemuncak AJL, persembahan yang dilakukan oleh Aizat Amdan sebagai penyanyi ganti ternyata menambat hati para juri. Aizat berjaya membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM35,000.

Kemenangan lagu ‘Terukir Di Bintang’ di pentas AJL27 ternyata viral di media sosial. Segelintir pihak menyatakan bahawa lagu tersebut mempunyai keunikan tersendiri namun, tidak layak untuk merangkul gelaran juara. Rata-rata netizen berpendapat lagu Teman Pengganti nyanyian Black dan RJ lebih layak untuk memenangi anugerah tersebut. Ini kerana, kedua-dua penyanyi itu mempunyai vokal yang mantap dan lirik lagu yang dibawakan itu mempunyai mesej yang sangat mendalam pada tahun berkenaan. Selain itu, saingan finalis yang lain seperti Shila Amzah, Hafiz dan Adira, kumpulan Mojo dan Stacy antara yang menjadi tumpuan penonton pada malam tersebut jika dibandingkan dengan persembahan Aizat.

Apa Khabar / Joe Flizzow & Sona One (2014)

Penyanyi rap, Joe Flizzow pernah mendedahkan lagu ‘Apa Khabar’ hampir-hampir tidak dimasukkan sebagai senarai lagu akhir untuk album Havoc yang dipasarkan pada tahun 2013 yang mana karya itu akhirnya diumumkan sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke-29.

Joe juga tidak percaya lagu ‘Apa Khabar’ diangkat sebegitu tinggi sedangkan banyak lagu yang terbaik bertanding pada malam itu. Kalau korang ingat, ramai yang letak harapan agar Dayang Nurfaizah menang sebagai Juara Lagu pada malam AJL29. Ini kerana, penyanyi tersebut telah merangkul Anugerah Vokal Terbaik pada masa itu. Lagipun, lagu ‘Di Pintu Syurga’ trending di semua platform muzik dan mengungguli carta corong-corong radio pada tahun berkenaan.

Gila / Kaka Azraff, Noki & Loca B (2021)

Intipati mesej kuat dan melodi segar menjadi faktor utama lagu ‘Gila’ ciptaan Ezra Kong, Noki, dan Loca B diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-35. Ketua juri pada masa tersebut, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan, pembaharuan karya sebegitulah yang mereka cari apa lagi secara keseluruhannya lagu berkenaan memang cukup kuat.

Mokhzani juga akur sekiranya keputusan itu masih menjadi pertikaian warganet, namun katanya ia adalah keputusan muktamad panel juri. Sebagai juri, Mokhzani turut menjelaskan bahawa mereka perlu berani mencari perubahan. Tidak kisahlah keputusan mereka itu dilabel ‘gila’, namun ia adalah pilihan terbaik.

AJL35 menyaksikan lagu ‘Semalam’ nyanyian Aina Abdul meraih gelaran naib juara, ‘Belenggu Rindu’ nyanyian Dato Jamal dan Wany Hasrita meraih tempat ketiga. Vokal Terbaik milik Ernie Zakri (Gundah), manakala Persembahan Terbaik milik Zizi Kirana (Eh!).

AJL36

![|650x814](upload://3RH3IKL9DJN3ETd64QkUTZYOXcu.jpeg)

Korang rasa lagu yang manakah akan dinobatkan sebagai Juara Lagu untuk tahun ini? Sama-sama kita nantikan!


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/roadtoajl36-tolong-ingatkan-aku-gila-3-lagi-lagu-kurang-popular-pernah-buat-kejutan-juara-ajl