Posmen Mengaku Tidak Bersalah Curi & Gadai Barang Kemas Pelanggan

Foto: Sinar Harian

Gara-gara mencuri dan menjual bungkusan berisi barang kemas milik pelanggan, seorang posmen yang bertugas di bahagian kaunter serahan sebuah syarikat sebuah penghantaran didakwa di Mahkamah Majistret Melaka.

Curi rantai leher & loket emas

Foto: Sinar Harian 

Memetik laporan Sinar Harian, Mohamad Azizal Rebu, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Untuk pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri seutas rantai leher emas yang mempunyai loket bertulis ‘Atieda’ dan satu loket emas kecil pada 10 Mac lalu kira-kira jam 8 hingga 10:30 pagi di Pusat Serahan Ayer Keroh, Taman Tasek Utama.

Dia didakwa mengikut seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Jual barang curi dekat kedai pajak gadai

Foto: Astro Awani

Mohamad Azizal turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 kanun sama kerana menghapuskan harta curi berkenaan dengan cara menjual di sebuah premis pajak gadai di Jalan Munsyi Abdullah.

Tindakan itu dibuat menerusi dua transaksi berasingan pada 12 dan 21 Mac 2022 lalu dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri, memohon jaminan sebanyak RM 10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Julai depan bagi sebutan semula kes.

Sumber: Sinar Harian


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/posmen-mengaku-tidak-bersalah-curi-gadai-barang-kemas-pelanggan