Pihak Produksi Drama Hometown Cha-Cha-Cha Minta Peminat Henti Serbu Rumah, Pemilik Mula Rasa Terganggu

![|650x400](upload://ahDoMgJ9Dstzz5jrNtyT8xFKQT8.jpeg)

Drama Hometown Cha-Cha-Cha yang dibintangi Kim Seon-ho dan Shin Min Ah mendapat sambutan luar biasa daripada peminat drama Korea Selatan.

Tuan rumah rasa terganggu

![|650x313](upload://qSlerqSM1V1Z0KkTUO2pC5w8Z6s.jpeg)

Susulan populariti yang naik melambung, pihak produksi meluahkan rasa bimbang apabila peminat fanatik mula menyerbu rumah penduduk yang disewa untuk penggambaran sehinggakan pemilik berasa terganggu.

Justeru, pihak produksi Hometown Cha-Cha-Cha mengeluarkan satu kenyataan supaya peminat berhenti berbuat demikian.

Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih buat penonton atas sokongan tidak terhingga kepada kami dan kami ingin membuat satu permintaan berhubung lawatan ke lokasi penggambaran kami.

Rumah Hye Jin, Doo Shik, Gam Ri dan Cho Hee dalam drama itu sekadar disewa untuk tujuan penggambaran. Pemiliknya masih lagi menduduki rumah itu.

Mereka membantu kami untuk drama itu dengan tujuan yang baik. Namun, sekarang bergelut dengan kesulitan kerana gangguan daripada pelawat setiap hari.

Cadang lawat lokasi patung sotong & bot

![|650x433](upload://8syIVwVU9DuCQ0Wsy56AfvWz65p.jpeg)

Tambah pihak produksi, mereka berharap agar peminat tidak menceroboh rumah-rumah tersebut. Malah, mereka lagi berbesar hati sekiranya pengunjung melewati lokasi lain yang merupakan tempat awam seperti patung sotong di Cheongha Market.

Kami mohon sangat agar anda tidak cuba memasuki rumah-rumah itu. Selepas diberi kelonggaran, anda masih boleh melawat lokasi lain.

Patung sotong di Cheongha Market masih akan terus diletakkan di bandar Pohang. Bot di Sabang Memorial Park juga akan masih berada di sana selepas penggambaran tamat nanti.

Sumber: Soompi


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/pihak-produksi-drama-hometown-cha-cha-cha-minta-peminat-henti-serbu-rumah-pemilik-mula-rasa-terganggu