Pertubuhan Pelajar Desak Pensyarah Marah Pelajar Tiada Laptop Dikenakan Tindakan

Foto: Mahasiswa Keadilan Malaysia

Tindakan seorang pensyarah berpangkat Profesor Doktor TS. (Teknologis Profesional) dari universiti awam yang dikatakan merendahkan martabat seorang pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tular di media sosial dan menerima kecaman yang hebat daripada wargamaya.

Harus dikenakan tindakan tatatertib

Menerusi video yang tular tersebut, pensyarah tersebut dilihat kurang senang dengan tindakan seorang pelajar yang dikatakan tidak mempunyai komputer ketika mengikuti sesi pembelajaran tersebut. Pada mulanya pelajar ini menjawab soalan sebelum dia (pelajar) diajukan dengan satu soalan yang lain.

Bagaimanapun, pelajar ini menjelaskan dia sama sekali tidak mempunyai komputer riba dan ibunya sudah meninggal dunia serta ayahnya tidak mempunyai kerja.

Kau pakai apa? Pakai phone eh? Mana kau punya komputer. Kau tak ada adik-beradik? Kau cakap dengan kakak kau kalau dia ada gelang emas pergi jual dan pergi beli komputer.

Hanya RM800 sahaja beli komputer, apa masalah kau. Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40, ia lebih memikirkan benda lain.

Susulan daripada video tular itu, Mahasiswa Keadilan Malaysia menerusi satu kenyataan menyeru Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjalankan siasatan tindakan tatatertib terhadap pensyarah berkenaan.

Hal ini bagi memberi pengajaran kepada ahli akademik mahupun sesiapa sahaja dalam menghayati erti kemanusiaan.

Sungguhpun kami merasakan bahawa pensyarah itu mengherdik kerana keperluan kursus untuk memiliki komputer riba, tetapi merendahkan-rendahkan pelajar tersebut setelah dia mengatakan keadaan keluarganya yang tidak berkemampuan adalah tidak boleh diterima dan jelas bersikap angkuh.

Sumber: Mahasiswa Keadilan Malaysia


This is a companion discussion topic for the original entry at
https://ohbulan.com/pertubuhan-pelajar-desak-pensyarah-marah-pelajar-tiada-laptop-dikenakan-tindakan