Pernah Digelar ‘Miss Garbage’, Anak Pemungut Sampah Dinobat Miss Universe Thailand

Asal-usul seseorang itu sudah tentu tidak menjadi penentu kepada nasib kehidupan seseorang. Itulah yang dapat diungkapkan tentang kemenangan Anna Sueangam-iam di pentas pertandingan ratu cantik berprestij, Miss Universe Thailand, baru-baru ini.

Membesar dengan mainan terbuang

Mengimbau semula zaman kecil Anna, dia yang lahir dalam keluarga yang susah itu merupakan anak kepada seorang pemungut sampah di kota Bangkok, Thailand, dan hanya bermain dengan mainan terbuang untuk mengisi masa lapang

Walau bagaimanapun, Anna yang nekad ingin mengubah nasibnya itu telah menuntut ilmu bersungguh-sungguh sehingga berjaya menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang seni dari Universiti Kasetsart.

Bukan calon pilihan, tak ada ‘mix’

Tidak mudah baginya untuk memenangi takhta Miss Universe Thailand itu, antara punca dia tidak menjadi calon pilihan dalam undi awam adalah kerana Anna bukan seorang ‘luk khrueng’ iaitu seorang warga Thailand dengan kacukan seperti finalis-finalis yang lain.

Walaupun mahkota tersebut didominasi model kacukan sejak 3 edisi terdahulu, Anna, seorang anak jati Thailand berjaya memenangi mahkota tersebut, malah menang dengan menjawab soalan dalam bahasa kebangsaan sepenuhnya, membuktikan bahawa fasih berbahasa Inggeris tidak memberi kelebihan.

Anna pada tahun 2018 pernah memenangi takhta Miss Mobile Thailand 2018 dan tempat kedua Miss Beautiful Thailand Pageant pada tahun 2020, namun pada ketika itu diberi gelaran ‘Miss Garbage’ kerana kerjaya bapanya.

Sumber: Youtube World Press, Nation Thailand


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/pernah-digelar-miss-garbage-anak-pemungut-sampah-dinobat-miss-universe-thailand