‘Pengganti Untuk Teman Hidup? Saya Boleh Temankan Diri Sendiri ..’ – Amelia Henderson

Pelakon Amelia Henderson akui tidak mempunyai masa untuk mencari pengganti teman hidup selepas keretakan rumah tangga.

Artikel Berkaitan: Lakonan Mantap Aedy Ashraf & Amelia Henderson Dalam Kisah Cinta Kita

Pengganti teman hidup

Ketika ditemui OhBulan!, Amelia menyatakan dia selesa menjaga diri sendiri dan mengutamakan karier seni buat masa kini.

Biarpun begitu, Amelia, 26, tetap mempunyai impian untuk berkahwin sama seperti wanita lain cuma belum tiba masa yang tepat.

Pengganti untuk teman hidup? Saya boleh temankan diri saya sendiri sejauh mana yang boleh. Saya pun ada team dan keluarga yang sangat kuat.

Jadi, saya tak pernah terfikir pun dan tak ada masa pun. Sebenarnya, saya sebagai ‘workaholic’, saya kena pentingkan apa yang ada dalam karier saya dahulu.

Bukan saya tak nak, dan saya rasa setiap perempuan dalam soal itu. Tapi selagi jodoh atau rezeki ke arah itu belum ada, saya tak boleh nak kawal.

Saya pun tak boleh nak rancang kalau calon pun tak ada. Memang ada yang cuba mendekati tapi dengan jadual macam ini, tak ada masa.

Tambah pemilik nama Amelia Thripura Henderson, dia pernah dilamar oleh peminat menerusi direct message (DM) tetapi memilih untuk tidak dilayan.

Saya bersyukur dengan peminat yang sentiasa menyokong. Tetapi yang lamar saya dekat DM itu memang pelik. Saya tak tahu nak komen macam mana.

Amelia ditemui ketika majlis Tayangan Perdana program-program Ramadan Awesome TV dan kolaborasi amal tanggungjawab sosial korporat bersama Koperasi Amanah Pelaburan Berhad yang diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara pada petang Isnin.

Kami kawan rapat

Ditanya mengenai hubungan dengan aktor Aedy Ashraf, Amelia berkata mereka berkawan rapat dan sering bekerja bersama.

Malah, dia juga tidak terganggu dengan gosip berkeliaran kerana baginya lakonan mereka dalam drama Kisah Hidup Kita itu membuahkan hasil yang mantap.

 Setiap kali saya jumpa Aedy, saya tanya dia ‘Aedy kenapa semua orang macam sibuk nak tanya I fasal you saja’. Lepas itu dia cakap ‘memang la saya Aedy Ashraf kot’.

Kami memang kawan rapat, tak ada masalah pun. Kami pun baru juga jumpa. Kami banyak juga projek bekerjasama yang tengah berjalan.

Bagi saya, benda ini (gosip) tak ganggu pun hidup saya. Lagi banyak orang tanya fasal ini, maksudnya drama lakonan kami sangat meletop.

Kalau tak, mesti tak akan orang bertanya sedangkan cerita itu dah habis beberapa bulan lalu. Kiranya, lakonan kami pun menjadi. Sebagai pelakon, itu yang kami nak.

Pada tahun 2018, pelakon kacukan India-Scotland itu mendedahkan, dia dan bekas suaminya, Tunku Datuk Harrunnarasheed Putra Tunku Annuar sudah berpisah, namun enggan berkongsi tarikh sebenar mereka membawa haluan masing-masing.

Amelia mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015 selepas setahun setengah menjalin hubungan cinta. Perkahwinan yang terlerai itu bagaimanapun, tidak dikurniakan cahaya mata.

Sumber: Instagram @ameliath


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/pengganti-untuk-teman-hidup-saya-boleh-temankan-diri-sendiri-amelia-henderson