Penentuan Tarikh Hari Raya Aidilfitri Dibuat Ahad Ini – JAKIM

Penentuan 1 Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2022 akan dilakukan menerusi aktiviti cerapan rasmi di seluruh negara di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022.

Hormati proses penentuan rasmi 1 Syawal

Seperti kebiasaan, aktiviti cerapan anak bulan itu akan dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri. Ahli mereka terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Terdahulu, timbul isu penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini yang tular di media sosial. Ada yang mendakwa sambutan Aidilfitri pada tahun ini akan disambut sehari lebih awal iaitu pada Isnin depan, berbeza dari kalendar yang ditetapkan.

Kejadian tersebut berlaku selepas orang ramai mula berkongsi tangkap layar perkongsian di laman Whatsapp yang meminta orang ramai melakukan persediaan untuk mengelakkan sebarang kejadian panik jika sambutan perayaan itu disambut lebih awal.

Susulan itu, Balai Cerapan Al-Khawarizmi dua hari lepas menafikan sambutan Aidilfitri akan disambut pada 2 Mei atau Isnin depan, seperti yang tular. Selain itu, Agensi di bawah Jabatan Agama Islam Melaka dalam satu kenyataan di Facebook juga berkata, sebarang pemakluman awal adalah tidak benar sehingga hasil keputusan rukyah pada 29 Ramadan 1443 H diterima dan selesai dilakukan.

Sumber: JAKIM, Berita Harian


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/penentuan-tarikh-hari-raya-aidilfitri-dibuat-ahad-ini-jakim