Nyaris Gilis Penunggang Motosikal Di Stesen Minyak, Pemandu Treler Wanita Didenda RM6,000

![|650x374](upload://zhpSy5Dxfl9uiCk1SZk4PhLFt97.jpeg)

Beberapa hari yang lalu, tular di media sosial video seorang lelaki nyaris digilis oleh treler ketika sedang mengepam angin tayar motosikal di sebuah stesen minyak.

Walau bagaimanapun, pemandu treler terbabit telah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, pada sebelah petang hari kejadian.

Didenda RM6,000

![|650x427](upload://nGmCMg1HR4peCLy7OuqHMVUf9Lj.jpeg)

Terkini, Mahkamah Majistret Klang telah mengenakan denda sebanyak RM6,000 ke atas pemandu treler wanita selepas tertuduh mengaku bersalah memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang penunggang motosikal.

Amirul Asyraf Abd. Rashid, Majistret, turut mengeluarkan perintah hukuman penjara selama enam bulan sekiranya orang kena saman (OKS) Noor Haffizza Che Ani, gagal membayar denda tersebut. Dalam pada itu, lesen memandunya turut akan disemak semula sebelum diserahkan kembali.

Buat rayuan

![|650x325](upload://xlFKZ75iNBNTPUDPAuYSPVQnq2M.jpeg)

Di dalam rayuannya yang terdahulu, OKS memohon mahkamah untuk mengenakan denda yang lebih rendah kerana dia menanggung ibu yang sedang terlantar sakit.

Saya memohon lesen memandu tidak ditarik kerana ia merupakan sumber rezeki bagi menanggung ibu yang sakit terlantar

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ Ayuni Jamri memohon supaya mahkamah memberikan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Kejadian berlaku ketika Noor Haffizza Che Ani sedang membuat pusingan ‘U’ di dalam kawasan stesen minyak tersebut, sekali gus telah melanggar seorang lelaki yang ketika itu sedang mengepam angin tayar motosikalnya di hadapannya. Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal itu tertolak ke kiri dan terjatuh serta mengalami kecederaan.

Artikel asal daripada Utusan Malaysia. Ikuti berita terkini dalam dan luar negara di portal Utusan Malaysia


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/nyaris-gilis-penunggang-motosikal-di-stesen-minyak-pemandu-treler-wanita-didenda-rm6000