Nak Ke Hong Kong Tapi Bajet Sikit? Nah Tips Jimat & Tempat Best Mesra Muslim Untuk Korang Lawati

Memasuki fasa endemik, orang ramai dah mula bebas untuk bergerak ke sana-sini tanpa sebarang halangan termasuklah untuk bercuti ke luar negara. Min percaya mesti korang pun dah teruja nak berjalan sakan kan? Setelah dua tahun tak ke mana-mana memang inilah masa paling sesuai untuk korang bercuti panjang!

Buat yang belum ada idea nak melancong ke mana, min sarankan untuk korang pilih negara yang mesra muslim seperti Hong Kong. Haa.. Kalau ada yang belum tahu Hong Kong sebenarnya ada lah negara yang mempunyai sekitar 300,000 penduduk muslim tau! Jadi, mudah sangat untuk pengembara beragama Islam nak cari makanan halal di sini.

Tips & tempat best di Hong Kong menurut rakyat Malaysia

Rasai pengalaman berjalan seperti orang tempatan

Kredit foto: Instagram @azyanshor – Di Ngong Ping 360 Cable Car, di sini korang dapat menikmati pemandangan indah bandar sekitar, sangat cantik dan mendamaikan!

Jadikan pengangkutan awam sebagai pilihan pertama ketika di Hong Kong untuk pengalaman yang lebih menyeronokkan! Dengan cara ini korang dapat rasai sendiri macam mana rakyat tempatan di sana bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain setiap hari.

Paling penting korang akan jimat banyak dari segi perbelanjaan sebab tambang untuk pengangkutan awam adalah jauh lebih murah berbanding menggunakan khidmat pemandu peribadi.

Psstt, tips! Beli Octopus Card untuk memudahkan korang naik pengangkutan awam, tinggal tambah nilai je siap-siap lepas itu terus boleh guna!

Pilih lokasi tanpa bayaran kemasukan

Kredit foto: Instagram @Qutreennada – Qutreen mengambil peluang untuk menjelajah di sekitar pasar setempat, Menurutnya pasar di sana tak sama dengan pasar tempatan kita, ini adalah pengalaman yang sangat unik untuknya.

Antara cara paling berkesan untuk berjimat ketika melancong adalah dengan melawati kawasan tarikan yang tak memerlukan bayaran kemasukan. Seronok! Sebab belanja tak banyak tapi korang pulang dengan pengalaman yang berharga!

Buat umat Islam, bolehlah korang lawati masjid yang popular di Hong Kong, seperti Masjid Jamia, Masjid Chai Wan, Masjid Ammar & Pusar Islam Osman Ramju Saddick serta masjid terbesar di sana iaitu Masjid Kowloon.

Masjid Kowloon

Haa.. Sambil melancong korang juga berpeluang untuk belajar dengan lebih mendalam tentang masyarakat Muslim di kawasan sekitar. Khabarnya umat Muslim di sana sangat aktif tau, bulan puasa baru-baru ini solat terawih dijalankan setiap hari dan makanan serta minuman juga disediakan buat penduduk setempat berbuka puasa.

Masjid Ammar & Pusar Islam Osman Ramju Saddick

Pelbagai variasi makanan halal

Hal makan korang memang tak payah risau langsung sebab di Hong Kong sangat mudah untuk jumpa kedai makan yang berstatus halal. Korang nak makan dim sum, itik panggang atau street food semuanya ada! Tinggal pilih mengikut citarasa korang.

Antara kedai makan wajib cuba di Hong Kong

Islamic Centre Canteen

Tak lengkap percutian korang di Hong Kong jika tak makan dim sum! Antara tempat yang memang terkenal dengan hidangan ini adalah di Islamic Centre Canteen, mesti korang puas hati dengan rasa asli dim sum di sini!

Wai Kee

Restoran Wai kee terletak agak tersorok di Cooked Food Centre, nak ke sini korang hanya perlu masuk melalui pintu utama dan naik ke tingkat 1. Hidangan wajib pesan di sini adalah itik panggang yang boleh dimakan dengan nasi atau mee. Selain itu, korang juga boleh cuba kari kambing, sangat lembut dan beraroma tau!

Warung Malang Club

Warung Malang menyajikan hidangan asli Cina dan juga Indonesia. Di sini, antara menu kegemaran ramai adalah sate, soto dan rawon.

Lee Keung Kee

Lee Keung Kee terkenal dengan wafel telur yang sangat rangup di luar tapi manis dan lembut di bahagian dalam. Sesuai dimakan sebagai hidangan ringan sambil korang menjelajahi bandar sekitar. P/s: Beli lebih okay, makan satu takut tak cukup nanti :)

Banyak kemudahan mesra muslim

Sebagai seorang Muslim solat lima waktu semestinya menjadi keutamaan, di Hong Kong korang tak perlu khuatir sebab gerenti mudah untuk korang penuhi kewajipan di masjid-masjid yang tersedia.

Ianya turut diperakui selebriti terkenal Elfira Loy yang menganggap Hong Kong sebagai negara favourite untuk dia lawati kerana terdapat pelbagai kemudahan mesra Muslim yang memudahkan urusannya dan keluarga sepanjang mereka di sana.

Elfira Loy menaiki Star ferry menuju ke Victoria Harbour untuk melawat masjid Jamia.

Hong Kong seperti rumah kedua saya, di sana saya tak rasa seperti pelacong sama sekali kerana orang tempatan yang ramah dan sangat membantu. Nak solat juga sangat mudah dengan adanya masjid-masjid yang tersedia, kebanyakkan masjid adalah besar dan komuniti muslim di sana sedia membantu sekiranya kita memerlukan pertolongan.

‘Kalau ke Hong Kong, kena cuba Beef bun di Islam Food!” – Elfira

Sangat mudah untuk dapatkan makanan halal di Hong Kong. Contohnya di Islam Food, Islamic Centre Canteen dan beberapa tempat lain lagi. Salah satu kedai kegemaran saya adalah Islam Food, kalau korang ke sana dan tak tahu nak order apa, pesan je beef bun! Memang the best! 

Mudah untuk berjalan dengan keluarga & anak-anak

Tambah Elfira lagi, jika berkesempatan dia sangat teruja untuk kembali lagi ke Hong Kong meskipun dia sudah lebih daripada tiga kali melawat negara tersebut sebelum ini.

Hong Kong adalah negara paling mudah untuk dilawati bersama keluarga dan anak-anak kerana tersedia akses mudah untuk bergerak di sana terutama sekali dengan menggunakan tren. Paling best, banyak tempat shopping! Hampir dimana-mana sahaja korang boleh membeli-belah tau!

Salah seorang rakyat Malaysia Afiq Hanif, turut bersetuju bahawa sangat mudah untuk dia bersama isteri dan dua anak kecilnya berjalan di Hong Kong.

Kebanyakan tempat senang diakses dan mesra muslim, contohnya seperti di Disneyland. Saya tak perlu risau untuk habiskan masa seharian di sana kerana makanan halal dan ruang solat telah tersedia. Antara restoran pilihan saya ialah Explorer’s Club di Mystic Point dan Tahitian Terrace di Adventureland.

Apa lagi geng, jom lah ke Hong Kong!

Dah macam-macam kelebihan Hong Kong yang min kongsikan ini tak akan lah korang tak teruja kan? Apa lagi geng sepadan negara pun dah dibuka, jomlah kita rancang trip ke Hong Kong cepat!

Jika korang memerlukan sebarang maklumat lanjut tentang tarikan istimewa serta lokasi kedai makan halal terbaik di Hong Kong, korang boleh layari laman web rasmi Hong Kong Tourism Board di SINI.

Selamat bercuti!


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/nak-ke-hong-kong-tapi-bajet-sikit-nah-tips-jimat-tempat-best-mesra-muslim-untuk-korang-lawati