Marah Ajak Anak Bekerja, Lelaki Tendang & Tumbuk Isteri

Sekadar gambar hiasan

Tindakan seorang wanita mengajak anak lelakinya bekerja di sebuah kedai haiwan peliharaan mengundang padah apabila dia ditendang dan ditumbuk oleh suaminya di rumah mereka yang terletak di Sungai Lalang, Bedong, Sungai Petani.

Tumbuk isteri, marah ajak anak bekerja

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Harian Metro, insiden yang berlaku pada Sabtu lalu itu dipercayai bermula daripada pertengkaran antara mangsa, 37 dan suspek selepas lelaki itu mengetahui anak sulung mereka yang berusia 17 tahun mahu mengikut ibunya bekerja secara sambilan. Menurut sumber, suspek yang berusia 39 tahun itu enggan membenarkan anaknya bekerja.

Ketika bertengkar, suami wanita terbabit tidak dapat mengawal kemarahan dan dia secara tiba-tiba bertindak luar dugaan apabila menampar muka dan menendang pinggang isterinya.

Wanita terbabit hanya mampu merintih menahan sakit sambil dilihat empat anaknya dan dia yang sudah tidak tahan dengan kelakuan suami membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Susulan daripada itu, suspek telah ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Difahamkan, ini merupakan kali ketiga mangsa membuat laporan polis berhubung kes keganasan rumah tangga yang dilakukan suspek. Semasa soal siasat, mangsa mendakwa suaminya seorang yang panas baran dan kerap minum air ketum serta memanggilnya pelacur.

Selain itu, ini juga adalah kali ketiga wanita berkenaan membuat laporan polis selepas menjadi mangsa pukul namun dia menarik kembali laporan sebelum ini kerana kasihan selain mendakwa mahu memberi peluang untuk lelaki itu berubah.

Ketua Polis Kuala Muda, Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu.

Sumber: Harian Metro


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/marah-ajak-anak-bekerja-lelaki-tendang-tumbuk-isteri