Lima Tahun Cari Subang Hidung, Rupanya Ada Dalam Paru-Paru

Seorang lelaki di Ohio, Amerika Syarikat yang pernah kehilangan subang hidung ketika sedang tidur terkejut apabila mendapati bahawa aksesori tersebut yang hilang sejak lima tahun lalu rupa-rupanya berada di dalam paru-parunya.

Rasa seperti pernafasan terhalang

Seakan-akan filem ‘Lord of The Rings’, ‘pengembaraan’ jejaka tersebut mencari satu subang daripada 12 tindikannya bermula lima tahun lalu, selepas dia bangun daripada tidur dan subang hidung itu tidak dijumpai.

Saya bangun dan menyedari tindikan septum saya telah hilang dan tidak dapat menemuinya di mana-mana. Subang itu telah ditindik pada hidung saya selama tiga atau empat tahun, pada ketika itu.

Saya ada terfikir bahawa mungkin telah menelannya tanpa sengaja semasa tidur kerana telah mencari di setiap tempat tapi masih tidak menemukannya. Saya juga telah melakukan segala-galanya termasuk menterbalikkan katil, namun subang itu masih juga tidak berjaya ditemukan.

Selepas gagal menemukan semula subang tersebut, lelaki itu tidak memikirkan tentang subang itu untuk terlalu lama dan menggantikan subang hidungnya yang hilang dengan subang yang baru.

Beberapa minggu yang lalu, lelaki tersebut terjaga daripada tidur pada pukul 2.30 pagi kerana mengalami batuk yang agak teruk, seolah-olah saluran nafasnya terhalang.

Pada mulanya, dia menyangka telah mengalami radang paru-paru atau penyakit berkaitan saluran pernafasan lain dan segera ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan pakar.

Saya batuk dengan sangat kuat sehingga belakang mula rasa sakit dan seperti ada sesuatu yang menghalang saluran pernafasan.

Doktor masuk dan menunjukkan gambar X-ray dan bertanya adakah objek tersebut seperti biasa dilihat.

Dipercayai, subang tersebut telah tertanggal lalu memasuki saluran pernafasan dan tersangkut di paru-paru semasa dia sedang tidur.

Bagaimanapun, lelaki itu seolah-olah tidak percaya akan kejadian tersebut kerana subang itu tidak memberi apa-apa kesan padanya sebelum ini.

Sumber: New York Post


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/lima-tahun-cari-subang-hidung-rupanya-ada-dalam-paru-paru