Lelaki 51 Tahun Meninggal Dunia Daki Gunung Kinabalu

Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Kinabalu dalam kejadian di laluan pendakian Kilometer 3.2, di Ranau, semalam.

Tiba-tiba rebah

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa, 51 tahun yang berasal dari Sarawak difahamkan sedang mendaki menuju ke Panabalan, namun mangsa mengatakan hendak berehat setibanya di lokasi kejadian.

Mangsa kemudian tiba-tiba rebah, dan malim gunung kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) selain menghubungi pihak bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 1.23 tengah hari.

Tindakan awal pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), kakitangan TTS dan malim gunung memberi bantuan pernafasan (CPR).

Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson Stretcher.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 4.30 petang.

Sumber: Berita Harian


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/lelaki-51-tahun-meninggal-dunia-daki-gunung-kinabalu