‘Kerajaan Perlu Telus Dalam Perbelanjaan Luar Dari Belanjawan’ – Johari Ghani

![|650x380](upload://csrC78PTILflC4i6Mn6ygFbQ5Dh.jpeg)

Bagi mengelakkan jumlah hutang dan liabiliti kerajaan meningkat ke paras yang tidak stabil, kerajaan perlu bersikap telus dengan amalan perbelanjaan di luar belanjawan khususnya yang dibiayai melalui jaminan hutang.

Jika perkara berkenaan tidak dapat dielakkan, ia akan menjejaskan kedudukan fiskal negara dalam pelaksaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Penyediaan RMKe-12 penting untuk membangunkan negara

![|650x430](upload://wyIr2bVuBuVteUa4X3wCdKpiDZH.png)

Menurut bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dalam masa lima tahun akan datang, penyediaan RMK-12 adalah penting bagi membangun negara memandangkan wabak Covid-19 melanda negara kita yang telah membataskan ruang fiskal kerajaan.

Semua projek yang tidak dirancang dan diluar RMK-12, sekiranya ia tidak diperlukan maka tidak wajarlah dipertimbangkan.

Kerajaan mesti belajar daripada pandemik ini dan berusaha untuk memberi tumpuan kepada peningkatan kemampuan penjagaan kesihatan awam kerana COVID-19 telah mendedahkan ketidakcukupan dan batasan sistem penjagaan kesihatan kita untuk menghadapi pandemik besar seperti COVID-19.

Jelas Johari, mengikut perangkaan Bank Dunia, perbelanjaan penjagaan kesihatan kerajaan Malaysia ketinggalan di belakang dengan hanya membelanjakan 2.0 peratus daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan awam berbanding kira-kira 3.8 peratus KDNK oleh negara berpendapatan menengah atas lain.

Menjamin era pasca-pandemik Malaysia

![|650x484](upload://99KTXDMuIJoqpgYbJf5K8nqnTcb.png)

Beliau berpendapat bahawa RMK-12 bukan hanya berkaitan dengan projek infrastruktur fizikal malah ia juga menjamin era pasca-pandemik Malaysia.

Saya harap RMK-12 akan memberikan hala tuju yang jelas bagi kerajaan untuk merangka Belanjawan 2022 kerana ia penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur yang telah berkurang sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti yang ditunjukkan oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) negara ini yang berada di belakang ekonomi serantau lain seperti Indonesia dan Vietnam.

Saya juga berharap, Ahli Parlimen diberi masa yang cukup untuk berdebat dan membincangkan RMK-12 di Parlimen kerana ia adalah strategi penting yang akan diambil oleh negara dalam lima tahun akan datang.

Tambah Johari lagi, dalam RMK-12, kerajaan mesti memikirkan penanaman atau pengeluaran makanan sebagai suatu keperluan dengan menerapkan sistem teknologi tinggi, ketepatan kejuruteraan dan konsep lestari. Ianya sebagai persediaan jika negara lain menghentikan eksport makanan ruji untuk melindungi bekalan domestik mereka tatkala berdepan pandemik.

Sumber : Berita Harian


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/kerajaan-perlu-telus-dalam-perbelanjaan-luar-dari-belanjawan-johari-ghani