Karl Shafek Tak Ralat Tolak Tawaran Mengacara, Pentingkan Kesihatan Diri – ‘Saya Akui Dah Tak ‘Fit’ Seperti Dahulu’

![|650x400](upload://hBdEbcrEh2HzhnzQL08f89K34oT.jpeg)

Tanpa disedari ramai sebenarnya sudah dua tahun pengacara dan usahawan, Karl Shafek menyepi daripada dunia seni.

Artikel Berkaitan: Pernah Simbah Petrol Pada Badan, Karl Shafek Masih Dapatkan Rawatan Pakar Untuk Masalah Depresi

Tak ralat tolak tawaran

Menurut Shafek dia bukan tidak menerima sebarang tawaran mengacara tetapi dia sendiri terpaksa menolak disebabkan masalah kesihatan.

Kata Shafek atau nama sebenarnya, Khairul Shafek Ibrahim, 41, dia tidak ralat apabila terpaksa menolak kerana tidak ingin terlalu tamak dan membuat banyak perkara dalam satu masa.

Saya dah dua tahun senyap dalam bidang pengacaraan. Situasi pandemik membuatkan peluang itu berkurang. Saya juga memberikan fokus terhadap perniagaan fesyen, Neonate Clothing Company.

Ada tawaran yang datang sekitar Oktober dan November tetapi saya terpaksa tolak kerana Neonate terlibat dalam KL Fashion Week pada awal bulan ini.

Kini, saya pula baru sahaja membuka cawangan Dulang Cafe di Kelana Jaya dan saya selaku Pengarah Urusan menguruskan banyak perkara.

Sejujurnya, saya rasa sayang menolak tawaran dalam bidang pengacaraan tapi saya tak ralat. Saya tak mahu susahkan orang lain dan tak boleh memberikan komitmen terhadap pelbagai perkara. Saya juga tak nak buat banyak benda dalam satu masa.

Saya sendiri ada masalah dengan tahap kesihatan mental dan saya akui saya tak ‘fit’ seperti dahulu. Sayang menolak tawaran yang datang tetapi saya kena sayangkan diri saya dahulu.

Dah lama simpan impian nak buka kafe

![|650x433](upload://jfPNQ7p0fuztdcuzLvc7uQCKfp5.jpeg)

Melangkah ke perniagaan makanan, Shafek mendedahkan dia sudah lama menyimpan hasrat untuk membuka kafe bagi mengikut langkah ibu tercinta.

Katanya lagi, dia dan rakan perniagaannya mensasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan dalam masa terdekat.

Saya dah lama tanam impian nak buka kafe. Ibu saya dahulu terlibat dalam perniagaan makanan dan pernah juga membuka perniagaan katering secara kecil-kecilan. Alhamdulillah, apa yang saya mimpikan jadi realiti.

Bercerita mengenai Dulang Kafe pula, ia diasaskan oleh Tunku Kurshiah Aminah Atiah dan mengangkat konsep makan dalam dulang. Kedai pertama kafe ini terletak di Nusa Jaya, Johor. Semenjak ia beroperasi dari 2017, kafe ini mendapat sambutan positif.

Dulang Kafe Kompleks Kelana Jaya ini merupakan cawangan yang pertama di Lembang Klang. Kami mengkhususkan hidangan Melayu, Jawa dan Singapura dan menu istimewa adalah Nasi Ambeng Singapura dan Sup Tulang Merah.

Insya-Allah, saya dan rakan perniagaan memang bercadang untuk membesarkan lagi bisnes ini dan kami berharap agar semuanya berjalan lancar.

Foto: Salam Ahmad


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/karl-shafek-tak-ralat-tolak-tawaran-mengacara-pentingkan-kesihatan-diri-saya-akui-dah-tak-fit-seperti-dahulu