Kanak-Kanak 4 Tahun Kritikal Ada Dadah Dalam Badan, Bapa Saudara Ditahan Mengaku Bawa Pergi ‘Suatu’ Tempat

Di Kota Bharu, Kelantan, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal akibat terdapat kandungan dadah dalam badannya. Menerusi laporan Harian Metro, kanak-kanak tersebut sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Keadaan masih kritikal

Mangsa yang tinggal di Kampung Sri Bintang, dibawa ke hospital semalam oleh ibunya untuk mendapatkan rawatan sebelum pihak hospital melaporkan kes tersebut kepada pihak polis. Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dan sebaik pemeriksaan dibuat mendapati dalam badannya terdapat kandungan dadah jenis methampethamine.

Siasatan mendapati kanak-kanak lelaki ini dipercayai dibawa bapa saudaranya ke suatu tempat dan belum dapat dipastikan lagi sama ada mangsa diberikan dadah atau dibiarkan terdedah dengan bahan larangan itu sebelum memasukkannya dalam badan. Susulan itu, bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan jam 10 malam tadi dan soal siasat yang dibuat, suspek mengaku membawa anak saudaranya itu ke sesuatu tempat tapi menafikan ada memberinya dadah.

Tambah Zaki, mangsa yang kini masih kritikal sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan pihaknya sedang menunggu laporan lanjut. Hasil ujian saringan yang dibuat ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methampethamine dan turut memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah.

Permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Harian Metro


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/kanak-kanak-4-tahun-kritikal-ada-dadah-dalam-badan-bapa-saudara-ditahan-mengaku-bawa-pergi-suatu-tempat