Idola Kecil Di Rumah Tampilkan Sissy Imann Sebagai Hos, Peserta Bukan Setakat Kena Menyanyi Saja

![|650x400](upload://9XUbtRz0RoRy4wjuI0T3gVA2KEi.jpeg)

Sebut saja Idola Kecil, nama-nama seperti Haqiem Rusli, Azzam Sham, Dayana Amerda, Harris Alif, Wan Azlyn ataupun lebih mesra dikenali sebagai Darling pasti menjadi perbualan orang ramai. Ternyata pentas Idola Kecil berjaya mencungkil dan mengasah bakat – bakat di usia muda.

Kembali selepas tujuh tahun

![|650x650](upload://4YeGNnJ1MGOykmnHQHlEBCwzNob.jpeg)

Setelah tujuh tahun, Idola Kecil kembali dengan konsep dan format yang baharu di TV3 dengan Idola Kecil Di Rumah.

Bersesuaian dengan norma baharu yang sedang dialami oleh golongan kanak-kanak iaitu sesi pembelajaran dari rumah, Idola Kecil Di Rumah membuka peluang kepada enam orang kanak-kanak untuk mengikuti pelbagai pengisian program ilmiah dan rekreasi yang bermanfaat.

Program berdurasi satu jam itu menampilkan Sissy Imann sebagai hos dan enam peserta yang berumur antara 8 hingga 12 tahun. Mereka ialah Adaputra Iskandar Danial Asdahrizam (Ada, 11 tahun, Selangor), Nur Zulaikha Mohamad Riduan (Ikha, 12 tahun, Selangor), NurAdyena Hanim Abdul Hamid (Dyna, 11 tahun, Negeri Sembilan), Razfazreyza Fenge Mat Rafengi (Reyza, 12 tahun, Selangor), Nur Marsha Auni Zahira (Asha, 12 tahun, Kuala Lumpur) dan Nur Qaireen Izyan Damia Jukiri (Qyen, 11 tahun, Sabah).

Program ini akan meraikan pemenang mingguan dan seorang pemenang utama di penghujung program berdasarkan prestasi dan cabaran yang dilakukan masing-masing pada setiap minggu.

Selain itu, Sissy Imann juga akan bergandingan dengan hos yang berlainan pada setiap episod. Lebih istimewa, mereka ialah ahli keluarga Idola Kecil iaitu Haqiem Rusli, Afiq Syazwan, Didi Astilah, Syada Amzah, Azzam Sham, Irfan Haris dan Harris Alif.

Persembahan atas talian

![|650x975](upload://esNvro0RzvDV3WfoE8bbLmsb5io.jpeg)

Menurut Pengurus Projek Idola Kecil Di Rumah, Muhamad Sufian Che Isa berkata sesi rakaman edisi kali ini diadakan sepenuhnya di rumah tanpa ada sesi bertemu secara langsung dengan peserta.

Pembelajaran di rumah sudah menjadi norma baharu untuk kanak-kanak sejak pandemik Covid-19. Selain pendidikan teras, mereka juga perlu didedahkan dengan kemahiran hidup dan diberikan peluang untuk menyerlahkan bakat. Jadi, Idola Kecil Di Rumah mengambil pendekatan melakukan secara atas talian dengan enam peserta terpilih ini.

Selain melakukan persembahan secara maya dari rumah, para peserta juga diberikan cabaran – cabaran yang berbeza seperti Sembang IK dan Genius IK untuk menguji kebolehan komunikasi, IQ dan kecerdasan otak. Kami juga akan memaparkan selebriti jemputan dalam setiap episod untuk berinteraksi dengan peserta-peserta ini supaya pengisian program tetap menarik walaupun ia dirakam secara maya.

Idola Kecil Di Rumah menampilkan Scott’s sebagai penaja eksklusif. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Idola Kecil Di Rumah di TV3 pada setiap hari Ahad, pukul 3.00 petang bermula 10 Oktober 2021.


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/idola-kecil-di-rumah-tampilkan-sissy-imann-sebagai-hos-peserta-bukan-setakat-kena-menyanyi-saja