Dua Kali Gagal Lari Ke Dubai, Presiden Sri Lanka Guna ‘Orang Dalam’ Untuk Masuk Ke Maldives

Ketika berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi Presiden dan Perdana Menteri Sri Lanka Sabtu lalu, Presiden Gotabaya Rajapaksa bertindak melarikan diri.

Selepas gagal melepaskan diri daripada imigresen Sri Lanka untuk ke Dubai, Rajapaksa dan isterinya berjaya meloloskan diri dan mendarat di bandar Male di kepulauan Maldives, lapor CNN.

Artikel Berkaitan: Rakyat ‘Berpesta’ Di Istana Negara, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Situasi Di Sri Lanka

Enggan beratur seperti orang awam

Presiden Rajapaksa dilaporkan meninggalkan Sri Lanka, demikian menurut seorang pegawai tinggi keselamatan, sejurus sebelum beliau dijadualkan meletak jawatan secara rasmi hari ini.

Lapor laman berita CNN, Rajapaksa dan isterinya menaiki pesawat pengangkut AN32 milik Tentera Udara Sri Lanka menuju ke bandar Male di kepulauan Maldives.

Difahamkan, menara kawalan udara Maldives membenarkan pesawat itu mendarat dengan campur tangan daripada Speaker Parlimen Maldives yang juga bekas presidennya, Mohamed Nasheed.

Terdahulu, Rajapaksa dihalang daripada meninggalkan Sri Lanka sekurang-kurangnya untuk dua kali selepas enggan beratur seperti orang awam lain di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike.

Beberapa pembantu Rajapaksa tiba di lapangan terbang berkenaan dengan membawa 15 pasport milik beliau dan ahli keluarganya termasuk Wanita Pertama Sri Lanka, Ioma Rajapaksa.

Pihak imigresen enggan memproses pasport mereka kerana Rajapaksa dan ahli keluarga tidak hadir sendiri untuk pemeriksaan dan pesawat tersebut berlepas tanpa Rajapaksa dan keluarganya.

Mereka kemudian cuba untuk menaiki sebuah penerbangan lain dengan Etihad yang dijadual meninggalkan Colombo menuju ke Abu Dhabi pada pukul 9.20 malam waktu tempatan, namun masalah serupa berlaku.

Sumber: CNN


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/dua-kali-gagal-lari-ke-dubai-presiden-sri-lanka-guna-orang-dalam-untuk-masuk-ke-maldives