Dr. Dre ‘Settle’ Kes Cerai Dengan Pampasan USD100 Juta

![|650x434](upload://9qbCcmyx6eQbNiC6Jex7zbfrz5.jpeg)

Selepas 18 bulan kes penceraian mereka dibicarakan, produser dan rapper Dr. Dre akhirnya mengakhiri kes cerai dengan bekas isteri Nicole Young dengan penyelesaian bernilai USD100 juta (RM417.65 Juta).

Pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga selama 24 tahun dan mempunyai 2 anak, Truice Young, 24 tahun, dan Truly Young, 20 tahun.

1 per 5 harta Dre kini milik Nicole

![|650x433](upload://xo6lvvnks8uTCQhkrIvFstVvOoG.jpeg)

Foto: Axelle/Bauer-Griffin/FilmMagic

Memetik laporan NBC, di bawah terma persetujuan tersebut, Nicole Young akan menerima USD50 juta (Rm208.82 Juta) secara serta merta, dan baki bilangan yang sama akan diberikan dalam tempoh masa satu tahun. Nicole tidak lagi layak menerima nafkah sebagai pasangan, namun dia berpisah dengan membawa kesemua barang perhiasan, serta 4 kenderaan mewah, Rolls Royce, Range Rover, Escalade dan sebuah motosikal Spyder.

Nicole, 51 tahun turut diarahkan untuk meninggalkan rumah pantai mereka di Malibu, dan segala kos guaman membabitkan kes penceraian di pihaknya adalah atas tanggungan Nicole sendiri.

Dre, 56 tahun atau nama sebenar Andre Romelle Young yang kini mempunyai aset bernilai USD820 Juta (RM 2.4 bilion) masih memegang bahagian yang lebih besar terhadap kesemua asetnya termasuk syarikat rakaman, tanda dagangan, dan kesemua perkongsiannya di dalam syarikat-syarikat yang lain.

Dre juga dapat mengekalkan pegangan sahamnya dalam syarikat Apple yang merangkumi hasil daripada jualan produk miliknya, Beats by Dre, yang dibeli oleh Apple pada tahun 2014, selain turut mengekalkan hak milik terhadap 6 kenderaan miliknya, dan 7 aset hartanah.

Laporan Rolling Stone melaporkan yang Dre berasa ‘lega’ bekas isterinya hanya dapat 1 per 5 daripada asetnya kerana Nicole mempunyai peluang untuk mendapatkan jumlah yang lebih besar sekiranya kes tersebut diselesaikan lebih awal.

Kes cerai Hollywood paling ‘hura-hara’

![|650x433](upload://7OnNprIaNXJ96bKYJx38UyfjwU4.jpeg)

Foto: The Sun

Terdahulu, pada permulaan kes penceraian pasangan ini, Nicole membuat tuntutan mahkamah bahawa Dre telah menghalau dia keluar dari rumah pada awal April dan memindahkan asetnya secara rahsia supaya bekas isterinya itu tidak akan mendapat perkongsian sama rata.

Dalam pada itu, Nicole turut menuduh Dre telah menderanya termasuk meletakkan pistol pada kepalanya sebanyak 2 kali dan bertindak kasar terhadap Nicole. Kesemua pertuduhan tersebut disangkal Dre yang kemudian mengfailkan tuntuan mahkamah mendakwa Nicole telah mencuri wang sejumlah USD353,571.85 (RM1.4 juta) dari tabung di salah satu studio rakamannya.

Sumber: NBC News, Rolling Stone


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/produser-rapper-dr-dre-settle-kes-cerai-dengan-pampasan-usd100-juta