Dikecam Teruk Selak Baju Noki, Wartawan Wanita Tampil Mohon Maaf

Tindakan seorang wartawan stesen televisyen menyelak ‘blazer’ Noki pada satu sesi temuramah di malam Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021) telah menerima kecaman teruk netizen.

Terbaru, wartawan dalam klip yang tular itu tampil memohon maaf atas tindakannya.

Langgar etika kewartawanan

Semalam, seorang pengguna di laman Twitter berkongsikan satu ciapan dengan lampiran satu video seorang wartawan wanita meminta Noki untuk menayang bahagian atas badannya yang sasa, namun ditolak penyanyi rap itu.

Susulan itu, wartawan itu bertindak luar kawalan dan sengaja menyelak ‘blazer’ yang dipakai Noki ketika sesi temuramah itu. Wajah Noki berubah dan kelihatan tidak selesa sebelum dia bersoloroh dengan mengatakan wartawan itu nakal.

Perkongsian tersebut tular dan teruk dikecam netizen yang beranggapan bahawa tindakan wartawan itu melanggar etika kewartawanan.

Wartawan mohon maaf

Terkini, wartawan wanita itu tampil di akaun Instagram peribadi miliknya dan memohon maaf atas tindakannya pada malam berkenaan. Menurutnya, dia juga telah menghubungi pihak Noki dan memohon maaf kerana nama ahli kumpulan K-Clique itu terpalit dalam isu tersebut.

Sempena hari Jumaat yang penuh barakah ini, saya dengan rasa rendah hati memohon maaf di atas video yang tular di media sosial.

Maaf andai kata perkongsian itu menyinggung atau mengganggu sensitiviti mana-mana pihak. Saya juga telah menghubungi pihak Noki dan memohon maaf kerana membabitkan nama beliau dalam situasi ini.

Saya dengan rasa rendah diri meminta maaf dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan.

Tambahnya lagi, klip tersebut hanya dimuat naik di akaun peribadi miliknya, dan tiada kena mengena dengan rancangan berita hiburan, HLive.

Video yang dimuat naik itu hanya di akaun personal dan tidak ada kena mengena dengan HLive.

Sumber: Twitter


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/dikecam-teruk-selak-baju-noki-wartawan-wanita-tampil-mohon-maaf