Didakwa Ibu Bapa Sudah Bercerai, Shila Amzah Menafikan – ‘Selepas 33 Tahun Berkahwin Mereka Sedang Melalui Fasa Sukar’

Bukan sahaja rumah tangga penyanyi Shila Amzah yang diuji tetapi hubungan rumah tangga ibu bapanya iaitu Datuk ND Lala dan Datin Fauziah Sarman kini berdepan masalah.

Artikel Berkaitan: Tak Mahu Terus Diboikot, Shila Amzah Minta Maaf Dengan Media Melayu – ‘Saya Tak Akan Salahkan Sesiapa Dengan Apa Yang Berlaku’

Melalui fasa sukar

Menjawab dakwaan kedua ibu bapanya sudah bercerai, Shila, 32, menyatakan kenyataan itu tidak betul. Kata pemilik nama Nur Shahila Amir Amzah, perkahwinan ibu bapanya sedang diuji selepas 33 tahun mereka bersama.

Dia macam separuh pokok bergoyang, memang mereka sedang melalui waktu sukar tapi tidak lagi bersama itu tak betul!

Selepas 30 tahun berkahwin mereka sedang melalui fasa sukar. Saya harap doakan yang terbaik untuk mereka terutamanya ibu saya. Kebetulan apabila saya diuji, ibu saya pun turut diuji.

Ada hikmah berlaku

Akui bukan mudah untuk dirinya menjadi kuat dalam menempuh pelbagai onak duri, pelantun lagu Memori Tercipta terima takdir yang sudah tertulis dengan hati terbuka.

Saya kena jadi kuat untuk keluarga kerana saya tulang belakang mereka. Saya melihat ini jalan yang sudah tertulis untuk saya. Apa yang terjadi ada hikmah.

Saya bersyukur dengan segala nikmat Allah bagi, ujian yang diberikan. Kerana pada saya kita memang kena seimbangkan. Saya cukup takut sekiranya hanya dilimpahi nikmat sebab kita ini manusia biasa.. Takut berlaku takbur dan riak.

Pada Ahad lalu, Shila tampil memohon maaf kepada media Melayu yang terguris hati dengan tindakannya yang menyebabkan dia diboikot.

Hubungan Shila dan media mula bermasalah apabila pihak pengurusan artis itu mengadakan sidang media dengan memperkecilkan peranan media Melayu selepas satu pendedahan dibuat akhbar Kosmo mengenai konsert artis itu yang ditaja sebuah syarikat perjudian.

Rentetan itu pihak Shila melalui syarikatnya Shila Amzah Entertainment Berhad telah memfailkan saman pada 16 Januari 2015 terhadap akhbar Kosmo di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan fitnah.

Namun pada 31 Mac 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rosnaini Saub menolak saman penyanyi itu kerana mendapati artikel diterbitkan Kosmo adalah dibuat bawah perlindungan bersyarat dan Shila sebagai selebriti perlu terbuka dalam menerima kritikan.

Justeru, mahkamah memerintahkan Shila membayar kos sebanyak RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan iaitu wartawan hiburan Kosmo, Maliah Surip, pengarang akhbar itu dan penerbit, Utusan Melayu (M) Berhad.


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/didakwa-ibu-bapa-sudah-bercerai-shila-amzah-menafikan-selepas-30-tahun-berkahwin-mereka-sedang-melalui-fasa-sukar