Dicucuk Beratus Suntikan Sehingga Pening, Nyawa Raja Ilya Hampir Melayang Gara-Gara Kesan Suntikan ‘Filler’ Di Punggung

![|650x407](upload://rejAptKsG6egZsLSNaPeJYO0W4S.jpeg)

Pelakon, Raja Ilya memberitahu nyawanya hampir melayang selepas menjadi mangsa doktor estetik palsu. Tambahnya, dia menerima suntikan berbahaya tersebut sekitar tahun 2008 hingga 2009 ketika masih naif dan kurang ilmu.

Hadiri uji bakat filem Tamil

![|650x608](upload://47Gogdzouy9eNBbSk7mgVS33svA.jpeg)

Menerusi laporan Berita Harian, Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad terpaksa hidup dengan kesan sampingan rawatan yang pernah dilakukan itu.

Masa muda, saya tidak berfikir panjang. Ia berlaku apabila saya menghadiri uji bakat filem Tamil di India. Ketika bersembang, penerbit filem mengatakan saya perlu ada beberapa kriteria, terutama bentuk badan. Penerbit menyatakan saya tiada aset seperti punggung besar. Saya menangis kerana merasakan ia adalah diskriminasi. Apabila saya berkongsi cerita ini dengan rakan jurusolek, dia menyarankan saya untuk membuat punggung dan memperkenalkan kepada seorang doktor.

Sejak daripada itu juga, Raja Ilya mula mengumpul duit sehingga RM8,000 untuk membuat suntikan ‘filler’ pada bahagian punggung.

Doktor palsu itu menyatakan suntikan ‘filler’ selamat dan tunjuk gambar artis yang pernah melakukan perkara sama. Apabila diberikan suntikan ‘filler’, saya mula pening, kemudian dicucuk dengan beratus suntikan. Disebabkan terlalu pening, saya tak ingat apa-apa. Saya disuruh balik, kemudian datang beberapa hari untuk menyempurnakan proses rawatan. Saya pergi semula beberapa minggu kemudian dan baru sedar melakukan kesilapan besar. Saya kelihatan sangat buruk, macam tempayan.

Ada yang meninggal dunia

![|650x734](upload://iwiDRDivMbGuDeWM6AABEmc0gED.png)

Bercerita lagi mengenai keadaan dirinya sehingga kini, Raja Ilya berkata dia masih menerima kesan sehingga sekarang. Pelakon yang kini menetap di Australia itu berkata, dia mengalami kesan sampingan pada 2015 selepas dimasukkan ke hospital.

Ketika itu, baru saya tahu dia bukan doktor, hanya menggunakan sijil palsu untuk menipu orang. Ketika itu, saya digigit kucing dan memutuskan ke klinik untuk mengambil vaksin. Ketika itulah, segalanya terbongkar dan saya hampir mati. Selepas tiga hari mengambil vaksin, saya sakit dan timbul ketulan seluruh badan. Saya tidak boleh berjalan dan bernafas. Saya dimasukkan ke hospital swasta dan tahap kesihatan merudum apabila tekanan darah menurun. Saya dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital kerajaan. Saya sedih doktor tidak tahu nak buat apa kerana ingatkan saya mempunyai penyakit pelik. Saya akhirnya dimasukkan ke wad pengasingan bakteria berbahaya selama berminggu-minggu.

Tambahnya lagi, doktor telah memberikan dos ‘morphine’ yang tinggi siang dan malam sehingga membuatkannya tidur sepanjang masa. Selepas dua tahun menyimpan rahsia, Raja Ilya diperkenalkan dengan seorang doktor pembedahan plastik. Doktor itulah yang membantunya membuang minyak silikon sebanyak mungkin.

Selepas ujian ke atas ketulan itu dibuat, baru tahu ia adalah minyak silikon yang juga bahan terlarang. Sebab kebanyakan minyak silikon sudah melekat dengan otot, organ dan tulang belakang. Jika mahu membuangnya saya berdepan risiko lumpuh sebab ia berada sekeliling saraf tunjang. Jadi, doktor melakukan prosedur yang mana tidak semuanya boleh dikeluarkan.

Sumber: Berita Harian


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/dicucuk-beratus-suntikan-sehingga-pening-nyawa-raja-ilya-hampir-melayang-gara-gara-kesan-suntikan-filler-di-punggung