Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee, MAFI Turun Padang, Pantau Aktiviti Import & Eksport Produk Pertanian

![|1200x800](upload://zDkVNN6M9JYfIBxBy5ECfQK4KYg.jpeg)

Peka terhadap aktiviti import dan eksport produk pertanian Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi memastikan biosekuriti negara terjamin.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, turut turun ke kompleks Customs, Immigration dan Quanrantine (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi melihat sendiri aktiviti pengoperasian pengimportan dan pengeksportan hasilan pertanian negara khususnya ke Singapura.

Hampir sebanyak 350 lori yang membawa muatan melebihi 600 tan metrik akan diperiksa disini setiap hari!

Hampir 2 juta tan metrik barangan pertanian telah dieksport ke Singapura

Berdasarkan data di 2 pintu utama ke Singapura, secara keseluruhannya dari Januari hingga Oktober 2021, menunjukkan 308,000 jumlah transaksi dengan kuantiti keseluruhannya melibatkan hampir 2 juta tan metrik barangan pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan telah dieksport ke Singapura dengan nilai anggaran sebanyak RM3.48 billion!

Transaksi eksport juga meningkat sebanyak 44% berbanding tahun 2020 dan dijangkakan akan terus meningkat lagi sehingga hujung tahun 2021 ni! Wahh baguslah!

PKP tidak memberikan impak

![|650x433](upload://xCY7rJkebc0AmwiWnSrIJNfAWCb.jpeg)

Menurut Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lepas tidak mempunyai impak secara langsung terhadap pengeksportan pertanian.

Ini kerana data menunjukkan transaksi eksport ke negara Singapura dari pintu masuk di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) meningkat daripada 56,610 pada tahun 2019 kepada 125,151 pada tahun 2020.

“Peningkatan direkodkan sebanyak 121 peratus dengan kuantiti barangan eksport pertanian meningkat daripada 279,218 tan metrik kepada 364,012 tan metrik. Trend kenaikan eksport yang sama dijangka berlaku pada tahun 2021 di mana transaksi sehingga Oktober telah pun mencecah kepada 393,189 tan metrik.” tambahnya lagi.

Turut hadir dalam operasi pemantauan itu ialah, YB Dato’ Haji Mohd Fasiah Haji Mohd Fakeh, Pengerusi FAMA, YBhg. Dato’ Zainal Abidin bin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA, YB Tuan Haji Rosleli Bin Jahari, Ahli Lembaga Pengarah FAMA dan Tuan Shamsul Akbar Bin Sulaiman, Ketua Pengarah MAQIS.

Sebanyak 37 kes direkodkan oleh pihak MAQIS dalam cubaan membawa masuk dan keluar hasilan agromakanan tanpa permit

Di samping itu, pihak MAQIS Bangunan Sultan Iskandar (BSI) telah merekodkan jumlah kes penahanan yang melibatkan cubaan membawa masuk dan keluar hasilan agromakanan tanpa permit iaitu 37 kes sehingga 30 September 2021 dengan nilai anggaran tahanan berjumlah RM1.35 juta berbanding 38 kes pada tahun 2020 dengan nilai tahanan RM1.2 juta.

Dr. Ronald berkata MAFI melalui MAQIS akan terus mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung serta dikawal.

‘MAQIS sentiasa disaran mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan bagi memudahcara perdagangan pertanian di pintu masuk utama negara yang sekaligus membantu perkembangan ekonomi negara,’ katanya.

Menurut beliau lagi,  MAQIS juga telah menambah baik kaedah pemantauan pengimportan dan pengeksportan dengan memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) serta melaksanakan kawalan kemasukan hasilan pertanian bagi tujuan transit dan transshipment.

Beberapa cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 akan dimuktamadkan

![|650x433](upload://shKnD6GmYGzvOQf6nHAISx9604.jpeg)

Pada masa yang sama, MAFI juga sedang memutamadkan beberapa cadangan pindaan kepada Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] antara lain untuk meluaskan skop kuasa MAQIS diluar pusat kuarantin, stesen kuarantin serta premis kuarantin yang membabitkan kuasa untuk membuat serbuan, siasatan dan penahahan diluar pintu masuk negara.

Selain itu pindaan juga akan memperkukuhkan bidang kuasa bagi tujuan kawalan biosekuriti kepada semua komoditi pertanian yang berhubungan dengan aktiviti import dan eksport, pemindahan antara wilayah, transit dan transshipment.

Akta 728 juga akan menekankan kepada pengurusan kawalan biosekuriti yang lebih mantap termasuk meningkatkan kadar denda atau hukuman yang dikenakan dalam peruntukan kesalahan sedia ada dan menambah baik pengurusan barang rampasan bahan mudah rosak (perishable item).

Beliau juga akan memastikan segala perancangan bagi manambahbaik mutu perkhidmatan MAQIS melalui pemodenan sistem pengurusan permit dan data, pemantapan Standard Operating Procedure (SOP), pemerkasaan fungsi dan struktur MAQIS serta pengukuhan fasiliti dan peralatan kawalan biosekuriti akan dilaksanakan dan menjadi agenda utama MAQIS.


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/datuk-seri-dr-ronald-kiandee-mafi-turun-padang-pantau-aktiviti-import-eksport-produk-pertanian