‘Bukan Merahsiakan Tapi Pilih Jaga Privasi Keluarga’ – Amar Asyraf

Nama pelakon Amar Asyraf hangat diperkatakan di media sosial apabila timbul dakwaan sudah berkahwin kali ketiga selepas selesai kes penceraian dengan isteri kedua.

Artikel Berkaitan: Tular Foto Raya Bersama, Amar Asyraf Kahwin Kali Ketiga?

Tiada keperluan sebenarnya

Mengulas lanjut berhubung status, Amar memilih untuk tidak mengiyakan atau menafikan tentang perkahwinan kali ketiga dengan wanita dikenali sebagai Farhana.

Kata pelakon berumur 36 tahun ini, dia bukan menyembunyikan tetapi memilih untuk menjaga privasi keluarga dengan tidak berkongsi hal peribadi.

Tiada keperluan sebenarnya untuk saya jelaskan kepada umum berhubung status saya. Bagi saya, bukan nak merahsiakan tapi lebih memilih untuk privasi apabila membabitkan hal rumah tangga.

Saya sebenarnya tak ada apa nak cakap atau beritahu apa-apa. Apa yang terjadi sebelum ini memberi pengajaran kepada saya. Jadi, saya mengambil pendekatan tidak mahu berkongsi apa-apa mengenai kehidupan peribadi. Kalau ada yang tahu, tahulah.

Saya tidak mahu mendedahkan apa-apa. Sesiapa yang berjiran dengan saya pasti tahu saya sudah berkahwin atau tidak. Namun, saya memilih untuk tidak berkongsi dengan umum.

Tambah pemilik nama lengkap Amar Asyraf Zailuddin, dia berpegang dengan kata-kata beberapa ulama yang menekankan kisah keluarga tidak boleh dikongsikan kepada orang ramai.

Lagipun, saya berpegang dengan kata-kata beberapa ulama yang beritahu tak boleh kongsi usia, harta dan kisah keluarga kepada umum.

Kehidupan dah tenang

Dalam pada itu, pelakon drama Setia Hujung Nyawa berharap tiada mana-mana pihak yang mengganggu kehidupannya selepas ini memandangkan dia kini aktif dengan dunia perniagaan.

Kehidupan saya pun dah tenang dan berharap sangat tiada mana-mana pihak mengganggu kehidupan privasi saya sekeluarga. Saya pun sekarang lebih fokus kepada perniagaan.

Sebelum ini, tular foto mesra Amar dengan seorang wanita dikenali sebagai Farhana mengenakan busana berwarna putih. Foto yang dimuat naik pada 19 Mac lalu itu dipercayai daripada Instagram (IG) milik ibu Amar.

Sekadar rekod, Amar mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama, Arna Salleh pada 7 Jun 2013 dan mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Taufik dan Ammara Dian.

Pada Oktober 2019, Amar mendedahkan dia sudah berkahwin kali kedua dengan wanita bernama Vivy Jeffry beberapa tahun sebelum itu.

Pada 19 Mei lalu, media melaporkan pengesahan lafaz cerai talak tiga yang dibuat Amar pada 4 November 2019 terhadap Vivy menemui titik noktah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Sumber: Instagram @amar_asyraf


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/bukan-merahsiakan-tapi-pilih-jaga-privasi-keluarga-amar-asyraf