Buat Ujian Klinikal Guna Kuku Manusia, Rozita Che Wan Lega Produk Inai Telap Air

Pelakon dan usahawan Rozita Che Wan lega apabila produk inai kolaborasi bersama teman baiknya, Anas Zahrin iaitu Mazaville terbukti telap air dan sah penggunaannya dalam solat.

Artikel Berkaitan: Netizen Sakit Mata Tengok Aaisyah Dhia Rana Bersolek, Ini Respon Che Ta – ‘Mak Dia Ratu Malaysia Dulu ..’

Uji kaji atas kuku manusia

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata dia melakukan uji kaji dengan pihak Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu untuk mendapatkan pengiktirafan pada 14 September lalu.

Kata Che Ta, inai keluarannya adalah yang pertama melakukan pada kuku manusia sebenar berbanding pihak sebelum ini yang hanya menguji di atas gelas atau bahan lateks.

Syukur tak terhingga apabila inai ini berjaya diuji serta menjadi jenama inai pertama yang mana ujian dilakukan pada kuku manusia sebenar dan sah untuk penggunaan solat oleh pihak universiti berkenaan.

Kami tahu ada pihak yang menguji penggunaan inai hanya di atas gelas atau bahan lateks yang belum tentu tepat dan sah digunakan dalam solat.

Che Ta dan Anas ditemui ketika majlis A Night With Rozita Che Wan bertemakan Malam Bollywood yang diadakan di Glam Hall, Damansara Perdana pada Khamis.

Turut dilancarkan pada majlis berkenaan ialah pembungkusan semula kotak inai selain produk terbaharu gincu mawar hitam atau Black Rose Che Ta yang berharga RM19.90.

Kata aktres berumur 49 tahun, tujuan dia melakukan untuk memuaskan hati pengguna supaya tidak was-was selain meleraikan perdebatan tentang penggunaaan inai dalam solat yang pernah timbul sebelum ini.

Sebelum ini memang kami sedar dengan kewujudan dalil dan perdebatan mengenai sah atau tidak penggunaan inai ini.

Lambakan inai yang mudah digunakan di pasaran seperti inai serbuk, inai siap bancuh atau inai celup menyebabkan ada golongan wanita keliru.

Terutamanya berkaitan inai jenis celup yang dikatakan menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib. Tapi akhirnya, inai kami ini sah dipakai dalam bersolat.

Bantu 1 Juta wanita

Sementara itu, pemilik nama Rozita Abu Bakar berkata inai ‘instant’ atau segera mampu milik sudah terjual lebih 100,000 kotak sejak empat bulan berada di pasaran.

Malah hingga kini, lebih 1000 pengedar berdaftar berjaya menjana pendapatan sampingan mereka berbekalkan jualan inai berkenaan.

Enggan berpeluk tubuh dan terus selesa dengan apa yang ada, jenama itu terus optimis mahu membantu 1 juta wanita di Malaysia menjana pendapatan sampingan.

Macam kami sering tekankan rezeki itu ada di mana -mana. Kami sedar ramai yang mengusahakan perniagaan inai kala ini, tapi tak kisah sekalipun sengit persaingan… kita terus berusaha.

Sebab itu saya dan Anas sebagai pengasas mahu terus bantu 1 juta wanita di Malaysia tak kira apa status mereka untuk terus menjana pendapatan.

Kami bersyukur sejak Jun lalu biarpun berdepan saingan sengit dan kontroversi tak terduga dengan pengusaha inai lain, niat dan misi kami nak menjana ekonomi golongan wanita ini tak pernah goyah.

Manakala Anas berkata, percaturannya mengusahakan perniagaan inai ‘segera’ disifatkan berjaya dan bukan sekadar perniagaan ‘hit and run’.

Kami ingin melakukan perniagaan inai ini secara berpanjangan kerana misi utama adalah membantu wanita atau mereka yang memerlukan untuk kelangsungan hidup.

Menghampiri hujung 2022, kami optimis sasaran jualan inai ini sebanyak 300,000 kotak atau lebih dapat dijual. Pemilihan Che Ta yang komited mempromosikan inai juga amat saya hargai. Sampai orang ingat inai… ingat Che Ta.

Persahabatan tulus kami kini memang sejak sekian lama juga menjadi cerminan dan nadi yang berjaya membentuk kepada rakan niaga terbaik. Untuk belian atau pertanyaan untuk sertai Skuad Inai Che Ta boleh terus ke Instagram @mazaville.


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/buat-ujian-klinikal-guna-kuku-manusia-rozita-che-wan-lega-produk-inai-telap-air