Berhenti Di Lebuhraya SUKE Nak Tengok Pemandangan, Penunggang Motor Cedera Langgar Myvi

Seorang penunggang motosikal dilaporkan cedera akibat terlanggar sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan semata-mata ingin melihat pemandangan di atas Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru dibuka 16 September lalu.

Berhenti sebab nak tengok pemandangan

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk bin Eshak, kejadian berkenaan berlaku 18 September lalu pada jam 2.45 petang yang melibatkan sebuah motosikal jenis Suzuki dan kereta jenis Perodua Myvi.

Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu telah berhenti di lorong kecemasan di Lebuhraya SUKE dari arah Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur.

Difahamkan, tujuan individu terbabit memberhentikan keretanya di bahu jalan adalah kerana ingin melihat pemandangan sekitar dari atas lebuhraya tersebut.

Kemudian datang motosikal dari arah belakang melanggar bahagian belakang kereta terbabit yang sedang berhenti di situ.

Penunggang terbabit mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan.

Walau bagaimanapun, kes berkenaan disiasat di bawah Kaedah 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan dan boleh dikompaun sehingga RM300.

Sumber : Polis Daerah Ampang Jaya Page


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/berhenti-di-lebuhraya-suke-nak-tengok-pemandangan-penunggang-motor-cedera-langgar-myvi