Belum Rancang Untuk Timang Zuriat, Sharifah Sakinah & Suami Sanggup Hidup Jarak Jauh Demi Anak-Anak

Menjalani hubungan perkahwinan secara jarak jauh bukanlah suatu perkara yang mudah buat pelakon, Sharifah Sakinah dan suaminya, Michael Hansen. Menurut Sakinah, pergorbanan tersebut dilakukan demi tiga anak hasil perkahwinan terdahulu, baik dirinya mahupun Michael.

Sanggup hidup jarak jauh

Ujar Sakinah, tidak adil untuk mereka berdua mengorbankan masa depan anak-anak semata-mata mahu hidup bersama. Sungguhpun begitu, Sakinah tetap mempunyai impian untuk tinggal bersama suami selepas anak-anak mereka meningkat usia

Kami sanggup menjalani kehidupan jarak jauh kerana anak-anak. Tidak mungkin bapa akan tinggalkan dua orang anaknya di sana, kerana dia seorang lelaki yang bertanggungjawab dan bergilir setiap minggu menjaga anak-anak dengan bekas isterinya. Saya pula tidak akan bawa Anais tinggal di Sweden kerana dia memiliki bapa di sini. Tambahan Anais satu-satunya anak bekas suami, jadi saya tidak akan korbankan masa depan anak-anak demi kami mahu bercinta dan tinggal bersama.

Bercinta dalam perkahwinan ini sekejap sahaja. Selepas itu, akan ulang masalah yang sama. Oleh itu, lebih baik saya berkorban sekarang, apabila anak-anak sudah besar nanti kami akan tinggal bersama. Mengenali saya seorang penghidap disleksia dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), memang saya tidak boleh berjumpa suami setiap hari, saya perlu bekerja dan memang suka berlakon. Suami juga bekerja di sana.

Tambah Sakinah, buat masa ini dia selesa dengan aturan kehidupan sekarang, namun sebagai wanita dan isteri dia tetap berasa sedih dan rindu.

Belum rancang untuk timang anak

Bercerita mengenai soal zuriat, Sakinah berkata dia masih belum mempunyai perancangan untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat. Namun begitu, dia menyatakan hasrat untuk bersalin di Sweden andai dikurniakan rezeki memiliki zuriat bersama Michael suatu hari nanti.

Memang ramai yang kata mesti dapat anak cantik jika kami mempunyai anak, tetapi buat masa ini kami lebih pentingkan tiga orang anak yang kami ada. Namun, jika kami ada anak pada masa depan, saya mahu bersalin di Sweden kerana semua benda percuma. Meskipun cukai di sana adalah sebanyak 50 peratus, tetapi semua keperluan rakyat diberi percuma.

Hospital kerajaan mereka seperti hospital swasta di Malaysia, jika sakit rawatan adalah percuma. Jika pasangan yang telah berkahwin tidak memiliki anak, rawatan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) adalah percuma dan banyak lagi perkhidmatan diberikan secara percuma untuk rakyat Sweden.

Biarpun banyak kelebihan yang diperoleh andai melahirkan anak dan tinggal di Sweden, Sakinah secara jujur menjelaskan dia masih belum bersedia untuk berpindah dan menguruskan keluarga sendirian. Ditambah dengan kos sara hidup yang agak tinggi berbanding di Malaysia, Sakinah berkata dia harus berfikir masak-masak sebelum mengubah kehidupan secara drastik.

Sumber: Kosmo


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/belum-rancang-untuk-timang-zuriat-sharifah-sakinah-suami-sanggup-hidup-jarak-jauh-demi-anak-anak