Bayi 7 Bulan Tertelan Jarum 5.5cm, Tertusuk Pada Usus

Sekadar gambar hiasan

Seorang bayi berusia tujuh bulan dikejarkan ke hospital di Makkah selepas bayi yang berasal daripada Amerika Syarikat itu tertelan jarum 5.5 sentimeter (cm).

Tertelan jarum 5.5 cm

Menerusi laporan Arab News, bayi berkenaan datang ke Makkah untuk menunaikan umrah bersama keluarganya. Namun, kejadian yang tidak diingini telah berlaku kepadanya apabila dia tertelan jarum.

Dalam keadaan kritikal, bayi perempuan terbabit dikejarkan ke jabatan kecemasan Hospital Bersalin dan Kanak-Kanak Makkah kerana jarum berkenaan tertusuk pada ususnya sehingga menyebabkan lubang kecederaan.

Meskipun sukar kerana faktor usia bayi serta saiz jarum, pasukan perubatan yang bertugas akhirnya berjaya mengeluarkan jarum tanpa pembedahan dan dibenarkan keluar hospital dalam keadaan sihat.

Luka dalaman dah sembuh

Menurut ketua pasukan perubatan, Dr Abdullah Al-Shanbary, selepas prosedur berjaya, bayi berkenaan berpuasa selama empat hari untuk menjalani pemeriksaan dan imbasan sinar X.

Walau bagaimanapun, keputusan sinar X menunjukkan bahawa luka dalaman bayi itu sudah sembuh.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Hospital, Dr Hilal Al-Maliki memuji kecekapan pasukan perubatannya dan menekankan bahawa hospital itu dilengkapi dengan peralatan terkini dan sentiasa bersedia untuk mengendali kes-kes kritikal.

Sumber : Arab News


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/bayi-7-bulan-tertelan-jarum-5-5cm-tertusuk-pada-usus