Bapa Dihukum Penjara 426 Tahun & 240 Sebatan, Bersalah Jadikan 2 Anak Kandung Hamba Seks

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 426 tahun dan 240 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas tindakan tidak berperikemanusiaan menjadikan dua anak kandungnya sebagai hamba seks selama tujuh tahun.

Bersalah atas 28 pertuduhan

Memetik laporan Kosmo!, Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, 56 tahun, yang membuat pengakuan bersalah ke atas 28 pertuduhan membabitkan kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal.

Menurut fakta kes, tertuduh yang merupakan seorang penyelia syarikat pelaburan telah melakukan perbuatan itu di kediamannya di dalam daerah Melaka Tengah selepas kedua-dua mangsa mencecah usia 12 tahun.

Lebih menjijikkan lagi, tertuduh turut menggunakan alat mainan seks terhadap mangsa selain berani melakukan perbuatan terkutuk itu ketika isterinya berada di rumah.

Difahamkan, perbuatan terkutuknya itu terbongkar selepas isterinya melihat tertuduh sedang merogol anak keduanya dalam sebuah bilik pada 5 September lalu.

Selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, fakta kes, keterangan impak mangsa serta hujah pendakwaan, Nariman menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan selama 426 tahun dan 240 sebatan terhadap tertuduh.

Walau bagaimanapun, hukuman penjara itu diperintahkan untuk berjalan secara serentak dan berperingkat dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 September 2022, sekali gus menjadikan hukuman penjara dijalani selama 45 tahun dan maksimum 24 sebatan.

Dalam pada itu, dalam prosiding yang berbeza, tertuduh dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret kerana mengugut untuk membunuh isteri dan anak-anaknya, dan hukuman diarahkan berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap.

Sumber: Kosmo!


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/bapa-dihukum-penjara-426-tahun-240-sebatan-bersalah-jadikan-2-anak-kandung-hamba-seks