Sekadar gambar hiasan
Seorang bapa di Jordan tergamak memukul dua anak perempuannya sehingga mati dengan menggunakan sebatang kayu sebelum bertindak menanam mayat salah seorang anaknya itu dan mayat kedua dibuang ke dalam lubang sampah.
Bekas isteri bimbang nyawa 4 anaknya
Difahamkan, polis di Irbid, Jordan menyerbu kediaman lelaki berusia 49 tahun itu selepas bekas isterinya memaklumkan bahawa dia bimbang akan nyawa empat cahaya matanya kerana bekas suaminya itu mempunyai masalah mental dan sering memukul anak-anak mereka.
Menurut jurucakap Jabatan Keselamatan Awam, Leftenan Kolonel Amer Sartawi, ketika tiba di lokasi kejadian, pihak polis hanya menemui seorang budak lelaki berusia 10 tahun dan budak perempuan berusia lapan tahun kerana mereka berjaya melarikan diri daripada didera si bapa.
Dalam pada itu, kedua-dua mereka memaklumkan kepada polis bahawa suspek telah membunuh dua adik-beradiknya dengan menggunakan sebatang kayu dan menanamkan mayat mangsa di kawasan berdekatan.
Mengaku bunuh dua anak perempuan
Akhirnya, si bapa mengakui bahawa dia telah memukul dua anak perempuannya yang berusia sembilan dan 12 tahun itu sehingga mati. Perbuatan berkenaan dilakukan pada tarikh berasingan.
Suspek turut mengaku mengebumikan seorang mangsa ke dalam kubur yang cetek, manakala seorang lagi dibuang ke dalam lubang sampah di halaman belakang rumahnya.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa berjaya menemui kedua-dua mayat terbabit dan dihantar untuk menjalani proses bedah siasat. Sementara itu, dua mangsa yang trauma pula dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan psikologi dan fizikal.
Susulan daripada kejadian itu, pendakwa raya Mahkamah Jenayah mendakwa suspek atas dua pertuduhan iaitu melakukan pembunuhan terancang. Suspek turut dikekalkan dalam tahanan pencegahan sementara kes berkenaan masih berada dalam siasatan.
Sumber : Mirror UK
This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/bapa-belasah-dua-anak-perempuan-dengan-kayu-sehingga-mati-tanam-buang-mayat-dalam-lubang-sampah