Bapa & Anak Edar Dadah Bernilai RM1.95 Juta, Sanggup Sewa Rumah Simpan ‘Stok’

![|650x445](upload://rMRizXnQUjUY8wwae7qFAvgkUZu.jpeg)

Sekadar gambar hiasan

Tindakan dua beranak (bapa & anak) yang didakwa mengedar syabu bernilai RM1.95 juta di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, mengundang padah selepas dicekup dan digempur oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, jam 4.50 petang pada Khamis lalu.

Dicekup pihak berkuasa

![|650x431](upload://hexmXc4eiPiWcrpP12TFsDnwCqy.png)

Foto: Utusan Malaysia

Memetik laporan Utusan Malaysia, suspek masing-masing berusia 26 serta 46 tahun yang menetap di Kelantan didapati sanggup bermalam di inap desa bagi melakukan aktiviti haram tersebut dan turut menyewa sebuah rumah teres bagi menyimpan dadah.

Kegiatan tersebut dipercayai dilakukan sejak awal tahun ini dan ujar Ketua JSJN negeri, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah, kedua-dua suspek telah ditahan bersama seorang warga Thailand di sebuah kawasan parkir kedai di Bandar Saujana Putra.

Ujarnya lagi, ketika serbuan dilakukan suspek sedang menaiki sebuah pacuan empat roda dan dikatakan sedang memunggah barang dalam keadaan yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan kemudian menemukan sebuah kotak berisi 10 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Ia kemudian membawa kepada penemuan 43 lagi bungkusan sama di sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar kawasan tersebut.

Bernilai jutaan ringgit

![|650x406](upload://1myIRd2zGICDiHWxjgFwpmUxVuu.jpeg)

Sekadar gambar hiasan

Bercerita lebih lanjut, berat dadah yang dirampas dianggarkan 54.06 kilogram (kg) dan bernilai RM1.95 juta. Hasil siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sebelum mengedarkannya di sekitar Selangor.

Semakan mendapati seorang daripada suspek iaitu si anak memiliki rekod jenayah berkaitan Akta Racun 1952. Kita turut merampas sebuah kenderaan dan sejumlah wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM60,400.

Mereka dipercayai menyewa inap desa untuk bermalam dan menyimpan dadah di sebuah rumah sebelum mengedarkannya.

Suspek berkemungkinan turut melakukan kegiatan itu di negeri lain dan kita sedang mengesan individu lain yang terlibat.

Kini, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel asal daripada Utusan Malaysia. Ikuti berita terkini dalam dan luar negara di portal Utusan Malaysia


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/bapa-anak-edar-dadah-bernilai-rm1-95-juta-sanggup-sewa-rumah-simpan-stok