Anak Norman Hakim Pegang Pada Prinsip, Tak Mahu Babak Bersentuhan Dengan Wanita

Peserta program Fit For Action, Danish Hakim, pernah mendapat tentangan daripada ibunya yang juga pelakon dan penyanyi, Abby Abadi ketika meluahkan hasrat untuk menyertai program pencarian bakat lakonan tersebut.

Ayah sokong keputusan saya

Menerusi laporan Harian Metro, Danish memberitahu dia berjaya meyakinkan ibunya dan mendapat sokongan daripada bapanya yang juga pelakon, Norman Hakim.

Ayah memang sokong keputusan saya, tapi mak saya pula sebaliknya. Pada awalnya, dia tak setuju untuk saya sertai program ini dan melangkah ke dalam industri seni. Antara apa yang dikongsikan adalah, mengenai sisi gelap industri ini. Tapi, Alhamdulillah, dia dah makin faham minat saya dalam bidang lakonan dan dia dah mula terima.

Di samping itu, Danish turut berkongsi mengenai pendapat pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof yang menganggapnya bukan orang yang sesuai untuk menjadi anak seni kerana ilmu agama dan peribadinya.

Sedikit kisah yang saya boleh kongsi, Abang Syamsul Yusof pun pernah menghalang saya daripada menjadi pelakon sebab dia cakap, saya tak sesuai jadi artis. Saya lebih sesuai jadi ustaz. Mungkin disebabkan muka saya yang nampak macam ‘budak baik’.

Dikenali sebagai remaja yang belajar dalam bidang agama, Danish juga menetapkan prinsip untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita ketika berlakon.

Saya dah jelaskan kepada pihak produksi bahawa saya tak boleh buat babak-babak bersentuhan. Orang tahu latar belakang saya sebagai pelajar agama, jadi saya perlu menjaganya. Tapi, andai kata saya perlu juga berlakon babak bersentuhan, saya akan minta bantuan kru atau pengarah untuk mengajar saya teknik kamera dan sebagainya. Selain itu, saya juga jelaskan kepada mereka bahawa saya perlu terus menunaikan solat apabila masuk waktu.

Sumber: Harian Metro


This is a companion discussion topic for the original entry at https://ohbulan.com/anak-norman-hakim-pegang-pada-prinsip-tak-mahu-babak-bersentuhan-dengan-wanita